MEDIA
Menjadi Patriot, bersama-sama dalam Perpaduan kita akan menjadikan Malaysia yang lebih baik untuk semua.


 

 

< BACK TO MAIN PAGE
15th May 2018
DEMOKRASI TELAH UNGGUL
Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) melihat terdapat pertelingkahan kecil di kalangan parti-parti pemerintah Pakatan Harapan setelah penamaan tiga menteri utama. Patriot menyokong sepenuhnya keputusan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir, yang pantas dan tegas kerana ia adalah amat penting sekali. Waktu tidak dapat menunggu perbalahan antara parti berhubung siapa dapat apa dan banyak mana.
 
Patriot ingin mengingatkan para pemimpin Pakatan Harapan bahawa kemenangan yang dicapai pada 10 Mei 2018 adalah kemenangan buat Malaysia. Sedar akan ungkapan Edmund Burke "Kejahatan akan unggul jika orang-orang baik tidak melakukan apa-apa", puluhan ribu menawarkan diri sebagai sukarelawan, berwaspada terhadap penipuan semasa pengundian, kembali dari luar negara hanya untuk mengundi; mengatasi semua kekangan dan menghasilkan jumlah pengundi menakjubkan 82.32% walaupun pada hari bekerja, dan akhirnya membuktikan semua ramalan sebelumnya adalah salah. Sesungguhnya, demokrasi telah unggul.
 
Kemenangan Malaysia ini menandakan satu permulaan baru. Suara majoriti sudah berbicara, dan mahu perubahan sebenar. Bangsa dan agama bukan lagi laluan untuk mencapai kemenangan semasa pemilihan, digunakan untuk menyemai rasa tidak percaya dan perpecahan di kalangan rakyat. Lenyap sudah budaya politik untuk memperkayakan diri sendiri, di mana kuasa jawatan digunakan untuk berselingkuh, menyalahguna, dan merompak. Lenyap juga politik naungan, di mana ahli politik yang tidak layak diberi kedudukan penting dalam badan korporat dan GLC. Lenyap juga di mana kebanyakan ,jika tidak semua, ketua jabatan utama dilantik oleh ketua eksekutif dan harus tunduk kepadanya. Jabatan-jabatan ini mesti bebas dan dilihat sebagai bebas, seperti badan perundangan dan kehakiman, yang berfungsi sebagai penyemak dan pengimbang (check and balance) terhadap para eksekutif.
 
Bagi parti-parti politik yang memerintah, budaya mementingkan diri sendiri, apakah yang ada untuk diri ku, untuk parti ku, untuk masyarakat ku, untuk bangsa ku, sudah berakhir. Banyak pertolongan yang diperlukan. Dapatkan mereka dari luar lingkungan politik, yang berkelayakan tinggi dan sedia berkhidmat bukan untuk wang ringgit ataupun glamor, tetapi minat tulen untuk membantu. Pilih mereka dengan teliti dan gunakan mereka di semua peringkat, jawatan, peranan yang diperlukan untuk membina negara.
 
Marilah kita semua berfikir sebagai rakyat Malaysia, apa yang baik untuk negara kita secara keseluruhan. Berfikirlah secara kolektif, inklusif dan holistik. Ringkasnya, kita perlu menerima dan menghormati satu sama lain, saling membantu, membuat setiap rakyat Malaysia merasa dihargai. Semangat patriotik akan bangkit semula dalam diri kita. Setiap putera dan puteri negara ini akan bangga memanggil Malaysia, rumah saya. 
 
Marilah kita semua bersatu, dalam perpaduan, bekerjasama dengan pemimpin-pemimpin kerajaan kita yang baru, mengambil bahagian untuk membina semula, dan menjadikan Malaysia hebat sekali lagi. 
 
BG Dato Mohamed Arshad Raji (B)
Presiden, Persatuan Patriot Kebangsaan
(PPM-005-14-22052017)

www.patriotkebangsaan.org.my