KENYATAN AKHBAR
Menjadi Patriot, bersama-sama dalam Perpaduan kita akan menjadikan Malaysia yang lebih baik untuk semua.


 

 

< BACK TO MAIN PAGE
14th July 2018
POLITIK PERKAUMAN MUNCUL KEMBALI


Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) memerhatikan bahawa politik perkauman telah muncul kembali. Dalam tempoh beberapa hari, ahli politik dari UMNO dan PAS telah mempermainkan sentimen perkauman untuk memberi gambaran bahawa mereka adalah para pahlawan yang memperjuangkan hak-hak orang Melayu.

Lokman Adam dari UMNO menuduh Tun Dr Mahathir “Mentadbir kerajaan mengikut kehendak 42 Ahli Parlimen DAP yang mempunyai kerusi paling banyak”. Nasrudin Hassan dari PAS menuduh kerajaan PH membenarkan “Pengendalian tiga jawatan sistem perundangan dan badan kehakiman oleh tokoh-tokoh yang menyebabkan kegelisahan di kalangan umat Islam”. Adalah jelas bahawa pemimpin PAS itu menyindir perlantikan Ketua Hakim Negara, Menteri Undang-Undang dan Peguam Negara. 

Rakyat Malaysia mengharapkan ahli politik kita bercakap secara bijak, sensibel dan masuk akal. Hujah-hujah yang dikemukan oleh Lokman dan Nasrudin Hassan adalah lompong dari sudut logik dan kepekaan walaupun kepada mereka yang kurang berpendidikan. Lebih buruk lagi buat Nasruddin Hassan kerana dia cuba memberi gambaran tentang keresahan umat Islam secara umum dan memperjuangkan hak mereka. Kedua-dua Lokman dan Nasruddin adalah pemimpin eselon menengah di parti masing-masing.   Pernyataan-pernyataan tidak berasas yang sering dibuat memberi gambaran buruk terhadap parti-parti dan pemimpin tertinggi mereka yang dilhat tidak mengekang tindak-tanduk pemimpin bawahan mereka. 

Pemerintahan dan kepimpinan adalah panggilan utama di kalangan ahli Patriot. Dari pengalaman kami, kami dengan mudah boleh mengenalpasti dua jenis manusia yang akan menjadi pemimpin yang buruk. Pertama, mereka yang bercakap kosong tanpa kepekaan.  Kedua, mereka yang tidak memiliki kemampuan dan pengetahuan tetapi hebat dalam mengampu. Untuk kedua-dua jenis ini, mereka sering bercakap buruk tentang orang lain, menabur kebencian, dan sabotaj orang lain sebagai cara jahat untuk mendapat keuntungan. 

Menggunakan bangsa dan agama untuk menyebarkan pertelingkahan dan kebencian masyarakat terbukti strategi yang gagal dalam pilihan raya umum yang lalu. Jika pemimpin UMNO dan PAS masih gagal menyedari perkara  ini, maka mereka benar-benar layak dilabel sebagai bodoh.   

Negara kita sekarang menghadapi banyak cabaran - untuk membayar hutang nasional yang besar berjumlah RM1 trilion, kadar faedah yang meningkat, kemelesetan ekonomi dunia, kadar pengangguran yang semakin ketara, ditambah dengan dilema sama ada untuk meneruskan kontrak berat sebelah dalam projek-projek infrastruktur.  Patriot menyeru semua rakyat Malaysia agar berdiri bersama-sama Perdana Menteri dan kabinet beliau, tetap bersatu,  bersedia bekerja keras, dan bersama-sama menghadapi semua cabaran yang bakal mendatang. 

BG Dato Mohamed Arshad Raji (B) Presiden, Persatuan Patriot Kebangsaan (PPM-005-14-22052017) www.patriotkebangsaan.org.my