MEDIA
Menjadi Patriot, bersama-sama dalam Perpaduan kita akan menjadikan Malaysia yang lebih baik untuk semua.


 

 

< BACK TO MAIN PAGE
19th August 2018
KONTRAK BERAT SEBELAH AES, KETERLIBATAN LTAT AMAT MENGEJUTKAN

Penededahan Menteri Pengangkutan Anthony Loke berhubung perjanjian berat sebelah di antara kerajaan terdahulu dan dua syarikat konsesi Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) mengejutkan rakyat Malaysia. Menteri berkenaan selanjutnya mendedahkan kerajaan BN membeli aset kedua-dua syarikat itu, yang terdiri daripada 40 kamera AES dengan harga RM555 juta yang dibayar oleh Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), perkara ini menambahkan lagi kejutan, khususnya kepada anggota tentera yang masih berkhidmat dan para veteran.
 
Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) mendesak siasatan menyeluruh berhubung perkara ini. SPRM dan bahagian jenayah komersil polis harus segera bertindak tanpa perlu menunggu laporan dibuat. Patriot menuntut untuk mengetahui siapakah pemilik korporat dua konsesi AES, iaitu ATES dan Beta Tegap. Kenapakah Pengarah Urusan dan Lembaga Pengarah LTAT membenarkan RM 555 juta diambil dari dana tersebut?
 
Tujuan utama LTAT ditubuhkan adalah untuk menjaga kebajikan dan menguruskan manfaat persaraan untuk para anggota perkhidmatan. Apabila dana LTAT digunakan sedemikian rupa, ia merupakan pecah amanah. Walaupun Pengarah Urusan dan Lembaga Pengrah menerima arahan daripada ketua kerajaan, kelakuan sedemikian adalah tidak terhormat, tidak dapat diterima dan satu pengkhianatan amanah. Dalam struktur pemerintahan pasukan tentera, para pemimpin/pemerintah tertinggi menjaga kebajikan dan melindungi keselamatan anggota-anggota mereka. Sebagai balasan, anggota bawahan akan memberi sokongan tidak berbelah bagi dan bahkan bersedia untuk mempertaruhkan nyawa mereka melaksanakan misi berbahaya. Oleh kerana LTAT berkait rapat dengan tentera dan berada di bawah bidang kuasa Kementerian Pertahanan, pemimpin korporat LTAT perlu mematuhi norma-norma institusi ketenteraan.
 
LTAT hari ini memiliki 59.4% daripada Boustead Holdings Bhd. Boustead Holdings Bhd memiliki 57.4% daripada Boustead Plantation Bhd, 20.7% daripada Affin Bank Bhd, 56.1% daripada Pharmaniaga Bhd, 65.0% daripada Boustead Heavy Industries Corp Bhd, dan beberapa buah  syarikat lain. Boustead Holdings Bhd telah diberikan kontrak untuk membekalkan empat Kapal Misi Pesisir (LMS) yang dilaporkan berharga RM1.17 bilion, satu isu yang Patriot ditonjolkan pada 28 Mei 18. Sehingga hari ini tiada sebarang perkembangan berhubung perkara ini.
 
Patriot dengan tegas mendesak LTAT menggunakan kuasa dan pemilikan empayar perniagaannya yang luas untuk menjaga kesejahteraan anggota perkhidmatan dan veteran secara serius, seperti menyediakan peluang pekerjaan, latihan sambil kerja bagi mereka sedang kursus peralihan dan pemberian biasiswa untuk anak-anak mereka . Kedai rangkaian PERNAMA perlu disusun semula dan skop perniagaan dikembangkan untuk memberi manfaat yang lebih baik. Mengembalikan lebih banyak keuntungan sebagai bonus kepada ahli. LTAT bukan sahaja perlu melakukan apa yang dicadangkan, tetapi perlu dilihat sebagai melakukannya secara terus menerus oleh warga tentera. Ini adalah sekurang-kurangnya yang boleh dilakukan oleh LTAT.
 
 
BG Dato Mohd Arshad Raji (B) Presiden,
Persatuan Patriot Kebangsaan
(PPM-005-14-22052017)