MEDIA
Menjadi Patriot, bersama-sama dalam Perpaduan kita akan menjadikan Malaysia yang lebih baik untuk semua.


 

 

< BACK TO MAIN PAGE
31st December 2018
KITA PERLU TERUS BERSATU UNTUK MENGATASI CABARAN MENDATANG

Kerajaan kita perlu mewujudkan strategi jangka panjang untuk menggerakkan negara kita ke hadapan, untuk menyelesaikan bermacam masalah, diantaranya adalah bagasi dari rejim sebelumnya, dan sebahagiannya masalah dalaman. Panggilan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini supaya orang Melayu mengubah sistem nilai mereka untuk berjaya adalah titik permulaan yang baik. Nilai positif adalah asas kejayaan untuk mana-mana komuniti, kumpulan dan negara secara keseluruhannya.

Sejak kebelakangan ini terdapat kumpulan yang telah menjadi sangat radikal dalam menuntut hak-hak orang Melayu. Perhimpunan besar-besaran menentang niat asal kerajaan untuk mengesahkan Konvensyen Antarabangsa yang ditaja PBB mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi  (ICERD) telah diadakan walaupun kerajaan telah mengumumkan bahawa ia tidak akan diratifikasi. Kontroversi kuil Seafield yang bermula angkara samseng berbayar dan para pengacau telah dipermodalkan dan dijadikan isu perkauman untuk menuntut perketakan jawatan para menteri keturunan India. Bahkan kematian ahli bomba Muhammad Adib Mohd Kassim, di mana pelakunya masih belum dikenalpasti telah dipermodalkan menjadi kempen kebencian.

Ucapan kebencian telah menjadi semakin berapi-api dan sering tidak mempunyai rasional. Ancaman akan berulangnya kejadian 13 Mei dan ancaman amok sekiranya tuntutan tidak dipenuhi sering dikeluarkan. Ini adalah kerja-kerja samseng berbayar dan pengacau yang ditaja untuk mewujudkan huru-hara yang akan memberi manfaat kepada mereka yang telah dan akan didakwa kerana perbuatan jenayah mereka terhadap negara. Usaha yang kini dilihat sebagai mendorong perisytiharan sebuah negara Islam dengan agenda tersembunyi demi menimbulkan antagonisma terhadap suku etnik lain yang boleh membawa kepada rusuhan kaum.

Mereka ini tidak menunjukkan keprihatinan terhadap laporan berita baru-baru ini bahawa Felda muflis dan dibebani dengan hutang RM8 bilion. Tidak  menunjukkan kebimbangan terhadap salah urus Lembaga Tabung Haji dengan aset kurang nilai berjumlah RM 19.9 bilion. Ini adalah isu-isu penting yang ada hubungkait dengan mereka secara langsung, tetapi kelihatannya langsung tidak diperdulikan. 

Dalam semua kekeliruan ucapan kebencian dan protes ini, ahli politik dari parti Pakatan Harapan bukan sahaja kelihatan hilang arah, tetapi juga sering bercanggah antara satu sama lain. Mereka seharusnya bercakap senada dengan keputusan yang diambil oleh Kabinet.   Naratif untuk negara maju ke hadapan adalah tidak jelas, masing-masing ingin jadi jaguh dan bukannya memberi kepimpinan kepada nasyarakat yang amat memerlukannya. 

Negara kita memasuki tahun baru dengan kadar faedah global yang meningkat, pasaran saham yang lemah, ekonomi dunia yang menguncup, perang perdagangan antara kuasa besar dunia yang menular kepada lebih banyak proteksionisme dan tekanan deflasi. Di negara kita ringgit yang lemah, pengecutan peluang perkerjaan, dan penurunan harga minyak mengakibatkan inflasi dan genangan pertumbuhan. Di masa yang sama, kita mempunyai hutang RM1 trilion untuk dilunasi, dan berpuluh-puluh bilion bernilai projek infrastruktur berat sebelah yang perlu diselesaikan. 

Pandangan keseluruhan untuk 2019 dan seterusnya adalah tidak memberangsangkan. Rakyat Malaysia perlu bersatu untuk menghadapi cabaran fenomena global ini. Jika kita tetap bersatu, cabaran ini dapat dikongsi bersama dan bebannya diringankan. 

Patriot menggesa semua rakyat Malaysia untuk berfikir secara global, kekal bersatu, dan bersama-sama kita akan mengatasi ribut dan rintangan yang kelak mendatang. 

BG Dato Mohamed Arshad Raji (B)
Presiden, Persatuan Patriot Kebangsaan
(PPM-005-14-22052017)
www.patriotkebangsaan.org.my