MEDIA
Menjadi Patriot, bersama-sama dalam Perpaduan kita akan menjadikan Malaysia yang lebih baik untuk semua.


 

 

< BACK TO MAIN PAGE
3rd January 2019
PATRIOT MENYOKONG G25 MENOLAK PETISYEN ISMA UNTUK MEMBENTUK NEGARA ISLAM

Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) menyokong pernyataan G25 Malaysia pada 2 Jan 19 bahawa Perlembagaan kita mesti kekal seperti mana yang dihasratkan oleh pemimpin-pemimpin terdahulu. Apa-apa cadangan untuk meminda Perlembagaan mestilah bertujuan menjadikannya lebih demokratik dan bukan lebih autokratik. Patriot bersama G25 menyatakan bahawa kami tidak akan menyokong sebarang pindaan yang akan mengubah kita daripada sebuah demokrasi kepada rejim otoriter atau kepada sebuah teokrasi.

Dilaporkan pada 26 Disember 18 bahawa Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) telah melancarkan petisyen yang menolak kerajaan sekular dan mengisytiharkan Malaysia sebuah negara Islam. Isma harus menjelaskan apa yang dimaksudkan dengan negara Islam. Jika ini bermakna bahawa sistem pemerintahan akan dilaksanakan oleh majlis ulama yang mengatasi sistem parlimen demokratik semasa, maka ia adalah usaha sia-sia kerana rakyat arus perdana tidak akan menyokongnya. Terdapat banyak contoh negara Islam dengan sistem teokratik yang tidak diurus-tadbir dengan baik dan tidak progresif, bahkan sampai ke tahap negara gagal (failed state). Walaupun banyak daripada negara-negara ini kaya dengan hasil minyak.

Negara kita mengiktiraf Islam sebagai agama rasmi. Dalam banyak perkara, kita telah mengamalkan prinsip Islam dalam sistem pemerintahan dan pentadbiran kita.

Patriot juga berpendapat bahawa di bawah perlembagaan demokratik semasa, negara kita mempunyai peluang yang lebih baik untuk membangun menjadi sebuah negara yang bersatu dan berjaya berbanding di bawah perlembagaan berasaskan teokrasi.

BG Dato Mohamed Arshad Raji (B)
Presiden, Persatuan Patriot Kebangsaan
(PPM-005014-22052017)
www.patriotkebangsaan.org.my