MEDIA
Menjadi Patriot, bersama-sama dalam Perpaduan kita akan menjadikan Malaysia yang lebih baik untuk semua.


 

 

< BACK TO MAIN PAGE
19th January 2019
PATRIOT MENGALU-NGALUKAN TINDAKAN PUTRAJAYA UNTUK MENYAMAN KERAJAAN NEGERI KELANTAN

Dengan mengambil tindakan untuk menyaman kerajaan negeri Kelantan bagi pihak kaum Orang Asli suku Temiar, Putrajaya telah mengambil satu langkah yang betul dan bijak. Dari segi moral adalah wajar untuk hak-hak tradisi Orang Asli ini dipertahan dan dilindungi dari dicerobohi oleh pembalak dan pekebun durian walau pun pembalak-pembalak dan pekebun-pekebun berkenaan telah diberikan lesen oleh kerajaan negeri. 

Sebagaimana yang telah dilaporkan oleh Peguam Negara Tommy Thomas, kerajaan negeri Kelantan telah membuat keputusan untuk memberikan hak pembalakan di Gua Musang kepada beberapa syarikat persendirian tanpa sebarang perundingan dibuat dengan kumpulan Orang Asli berkenaan. Mereka juga telah tidak diberikan sebarang pampasan. Tindakan untuk mengenepikan hak-hak Orang Asli ini adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab memandangkan kehidupan mereka selama ini amat bergantung rapat dengan tanah hak milik tradisi mereka. Ini merupakan satu tindakan yang tidak sepatutnya diambil oleh mana-mana kerajaan negeri walaupun hal ehwal pengurusan tanah adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

Kerajaan negeri Kelantan perlu mengambil iktibar dari banjir besar yang berlaku pada tahun 2014 yang telah menyebabkan banyak kerosakan harta benda dan kesengsaraan terhadap rakyat Kelantan. Punca utama banjir tersebut adalah akibat penerokaan tanah dan aktiviti pembalakan yang rakus.

Dengan meletakkan kepentingan perniagaan mengatasi hak-hak Orang Asli, kerajaan negeri Kelantan nampaknya telah kehilangan pedoman moral mereka. Ini adalah satu perkara yang menghairankan memandangkan kebanyakan pemimpin-pemimpin negeri ini dianggap sebagai mereka yang sentiasa dihormati dan berpegang kuat kepada agama. 

Patriot menyokong penuh tindakan Peguam Negara Tommy Thomas dan Putrajaya dalam mempertahankan hak-hak Orang Asli suku Temiar di Kelantan.

BG Dato Mohamed Arshad Raji (Rtd)
President,Persatuan Patriot Kebangsaan
(PPM-005-14-22052017)