KENYATAN AKHBAR
Menjadi Patriot, bersama-sama dalam Perpaduan kita akan menjadikan Malaysia yang lebih baik untuk semua.


 

 

< BACK TO MAIN PAGE
9th February 2019
SIKAP KERJA ‘TIADA KARUT-MARUT’ UNTUK PENJAWAT AWAM

 
Mesej Tahun Baru Cina (CNY) Tun Mahathir yang menyeru agar rakyat Malaysia meraikan kepelbagaian dan tidak membenarkan elemen memecahbelah mengganggu-gugat keamanan dan keharmonian adalah dipuji. Kita adalah negara berbilang bangsa dan berbilang agama dan telah belajar untuk hidup bersama sejak kemerdekaan. Pada usia 93 tahun dan memimpin negara untuk kali kedua, Tun Mahathir tidak syak lagi adalah orang yang tepat untuk membuat seruan sedemikian.
 
Mesej CNY Tun adalah tepat pada masanya seperti yang kita baca setiap hari sejumlah mesej, khususnya di media sosial, yang berniat jahat, bertujuan menimbulkan rasa tidak puas hati, kebencian dan kekeliruan di kalangan rakyat yang kurang maklum terhadap kerajaan baru. Kemungkinan ini adalah kerja orang-orang yang dibayar oleh pihak tertentu untuk kepentingan diri mereka. Mungkin juga terdapat puak-puak yang kecewa dengan pertukaran kerajaan, dan terlucut peluang dan faedah yang mereka nikmati dengan kerajaan terdahulu.
 
Patriot memandang serius terhadap mesej yang memecahbelahkan itu, dan menyeru kerajaan untuk menguatkuasakan pengawasan yang lebih rapi terhadap pemula mesej-mesej tersebut. Kegiatan memecahbelah sedemikian tidak boleh dibiarkan berterusan apabila kerajaan sedang melakukan yang terbaik memperbetulkan salah laku kerajaan terdahulu, khususnya dalam salah urus kewangan dan ekonomi negara.
 
Banyaknya dakwaan terhadap bekas pemimpin negara berhubung rasuah, pengubahan wang haram dan penyalahgunaan kuasa mencerminkan ketidakwajaran kepimpinan mereka, dan pengkhianatan terhadap sumpah jawatan yang mereka buat kepada Raja dan Parlimen.
 
Terdapat juga kritikan terhadap kerajaan dengan apa yang dilihat sebagai ketidakgiatan (inaction) oleh beberapa Menteri dan pegawai kementerian tertentu berhubung isu kepentingan negara. Adalah menjadi pengetahuan umum bahawa terdapat pegawai kementerian dan jabatan yang masih menyokong kerajaan terdahulu dan aktiviti dan tindak tanduk mereka bertentangan dengan dasar kerajaan yang memerintah. Setakat ini, dua orang menteri kabinet, pendidikan dan pertanian, telah meluahkan dan menyatakan kekecewaan mereka dalam menangani penjawat awam yang melambat-lambatkan kerja mereka.
 
Napoleon kecil wujud di kalangan penjawat awam di pelbagai kementerian serta di kerajaan tempatan. Sesiapa sahaja, tanpa mengira status dan pangkat mereka dalam perkhidmatan awam, secara sengaja ataupun secara cuai tidak melaksanakan arahan kerajaan baru harus dikenakan tindakan disiplin. Kerajaan baru kita mempunyai banyak perkara yang perlu dilakukan untuk memulihkan keadaan. Oleh itu, semua penjawat awam harus mengamalkan sikap kerja ‘tiada karut-marut’.
 
BG Dato Mohamed Arshad Raji (B)
Presiden, Persatuan Patriot Kebangsaan
(PPM-005-14-22052017)
www.patriotkebangsaan.org.my