MEDIA
Menjadi Patriot, bersama-sama dalam Perpaduan kita akan menjadikan Malaysia yang lebih baik untuk semua.


 

 

< BACK TO MAIN PAGE
23rd February 2019
PIHAK POLIS PERLU PEMBAHARUAN

 Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai agensi penguatkuasa utama mesti akur bahawa di Malaysia Baru mereka tidak terlepas dari pemantauan secara dekat oleh orang ramai. Kehebohan yang timbul baru-baru ini ekoran “lawatan sambil belajar perjudian dalam talian ke Turki” yang melibatkan beberapa pegawai tinggi yang diketuai oleh KPN mengesahkan fakta ini.
 
Patriot menzahirkan keperihatinan mendalam terhadap kejadian ini dan menganggapnya sebagai satu tanda perkembangan yang tidak sihat dalam PDRM. Imej PDRM yang dulunya dihormati, dianggap sebagai salah satu yang terbaik di rantau ini, kini tercemar dan keyakinan umum terhadap Pasukan ini agak goyah.
 
Seruan untuk mempercepatkan penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) yang dicadangkan mungkin mencerminkan sentimen ini. Walaupun terdapat kesangsian kuat terhadap penubuhan IPCMC, namun tiada sebarang langkah positif yang telah diambil oleh pihak pengurusan tertinggi PDRM untuk meningkatkan tahap profesionalisme dan integriti Pasukan untuk membenarkan kesangsian ini.
 
Suruhanjaya Diraja untuk Meningkatkan Operasi dan Pengurusan PDRM telah menyarankan 125 cadangan untuk menambahbaik PDRM merangkumi aspek kebajikan anggota, persekitaran kerja, gaji dan elaun dan lain-lain. Penubuhan IPCMC hanyalah satu daripada 124 cadangan. Namun orang ramai cenderung mengutarakan cadangan tunggal ini. Ini mungkin ada kaitan dengan tahap keyakinan mereka terhadap PDRM dan mereka tidak boleh dipersalahkan berhubung perkara ini.
 
Patriot bersetuju dan mengalu-alukan penubuhan IPCMC. Tetapi ia juga percaya bahawa ia hanya dilakukan setelah atau selari dengan pelaksanaan 124 cadangan yang lain.
 
Kepimpinan tertinggi PDRM diseru agar mengambil kira keadaan semasa dan mengambil langkah-langkah perlu untuk menangani isu-isu semasa yang kelihatannya menjejaskan imej Pasukan. Ini merangkumi peningkatan tahap profesionalisme  dan integriti, latihan, sokongan teknikal dan lojistik, perlindungan undang-undang dan kebajikan anggota, dan kepimpinan. Ini adalah langkah-langkah yang perlu dilakukan yang merupakan sebahagian daripada 125 cadangan oleh kerajaan termasuk penubuhan IPCMC.
 
Imej PDRM tercemar agak parah ekoran beberapa insiden baru-baru ini yang menimbulkan keraguan terhadap integriti pegawai-pegawai kanan khususnya dan Pasukan secara keseluruhan. Patriot mendesak PDRM supaya menangani perkara ini secara serius untuk mendapatkan semula keyakinan orang ramai.
 
 
DCP Dato 'Zulkifli Mohamed (B)
Naib Presiden, Persatuan Patriot Kebangsaan
(PPM-005-14-22052017)
www.patriotkebangsaan.org.my