MEDIA
Menjadi Patriot, bersama-sama dalam Perpaduan kita akan menjadikan Malaysia yang lebih baik untuk semua.


 

 

< BACK TO MAIN PAGE
14th May 2019
MENGINGATI PERISTIWA 13 MEI: SATU PERISTIWA HITAM DALAM SEJARAH NEGARA

Dikalangan mereka yang lahir selepas tahun 1969 mungkin ada yang tidak memahami apakah erti hidup di dalam satu masyarakat berbilang kaum dan dalam suasana yang aman dan harmoni. Bagi mereka yang pernah mengalami suasana persengketaan dan keganasan  tersebur, suasana sedemikian adalah suatu peristiwa pahit “yang tidak ingin disaksikan lagi; yangmana telah mengorbankan ramai nyawa mereka yang tidak berdosa dan memusnahkan banyak rumah dan harta benda”. 

Tanggal 13 Mei 1969 adalah merupakan satu titik hitam dalam sejarah negara kita yang mana penduduk Kuala Lumpur pada ketika itu telah hilang perkiraan mereka dan bertindak ganas semata-mata diatas dasar perbezaan politik diantara UMNO sebagai parti pemerintah dan DAP sebagai parti pembangkang.

Bagi mereka yang pernah hidup dizaman pemerintahan penjajah dan semasa tahun-tahun awal selepas kemerdekaan, peristiwa tersebut yang telah melagakan ketiga-tiga kaum utama di Semenanjung adalah suatu peristiwa yang malang dan sepatutnya dihindari kerana ketiga-tiga bangsa ini sebelum ini telah bersatu untuk membebaskan negara dari belenggu penjajahan. 

Generasi kini rakyat Malaysia perlu menghargai akan sifat kepimimpinan tiga pemimpin Malaya pada masa itu; iaitu perdana menteri pertama YAM Tunku Abdul Rahman Putra, Tun Tan Cheng Lok dan Tun Sambanthan. Semangat kerjasama, tahap kesetiaan dan semangat cintakan negara yang ditunjukkan merekalah yang telah memangkinkan pembinaan negara ini untuk generasi masa hadapan.

Ada dikalangan ahli Patriot yang terlibat didalam tugas ketenteraman awam semasa peristiwa rusuhan kaum 13 Mei 1969 tersebut. Bagi mereka peristiwa ngeri, pembunuhan dan kemusnahan yang berlaku masih lagi bermain diminda mereka.

Selain daripada peristiwa pahit dibulan Mei 1969, ramai dikalangan ahli Patriot yang terdiri daripada anggota unit tempur, telah terlibat didalam pertempuran dengan pihak musuh sama ada semasa darurat, konfrontasi, atau semasa menjalankan tugas operasi pengaman PBB. Ada juga diantara mereka yang telah terkorban, mengalami kecederaan, kehilangan kaki atau tangan akibat jerangkap samar. Malah doktor dan anggota perubatan juga tidak terkecuali dari bahaya ini ketika melakukan operasi menyelamat.
Bagi pegawai Ordan mereka terpaksa mematikan bom yang dipasang oleh pihak musuh. Pihak Jurutera terpaksa membersihkan periok api yang tertanam. Juruterbang helikopter yang menjalankan tugas ulang bekal pula sering menghadapi bahaya tembakan musuh. Bagi yang berkhidmat dengan tentera laut, mereka terpaksa meronda dilautan bagi membenteras ancaman lanun serta mengawal pulau-pulau yang jauh terpencil. Dikalangan anggota polis Cawangan Khas mereka sering diselubungi bahaya semasa bertugas.
Bagi pegawai polis mereka juga telah mengalami peristiwa-peristiwa yang merbahaya dalam menegakkan undang-undang dan keamanan. Malah boleh dikatakan bahawa segala bentuk mara bahaya dan kesusahan telah pun mereka alami.

Berasaskan pengalaman ini, Patriot dengan sekeras-kerasnya menentang segala bentuk pembunuhan dan keganasan terhadap umat sejagat. Kami telah merasai keperitan konflik dan peperangan serta bencikan keganasan. Kami tidak akan teragak-agak untuk menentang mereka yang berniat untuk menimbulkan ketegangan kaum dan merosakkan keharmonian negara. Keganasan seperti yang berlaku pada 13 Mei 1969 akan hanya membawa negara kekancah kemusnahan. Ahli-ahli politik terutama daripada pihak pembangkang yang sering menyemarakkan api sentimen perkauman dan keagamaan hendaklah menutup mulut mereka. Mereka ini hanya pandai mendabek dada dan berkokok dengan bising. Mereka tidak pernah mengalami apa itu peperangan dan tidak mengetahui apa itu keganasan. Mereka ini sebenarnya adalah pengecut.

Ahli-ahli politik yang mengaku sebagai juara pejuang agama dan bangsa (Melayu dan Islam) berbuat demikian semata-mata atas dasar untuk kepentingan politik mereka dan bukan untuk kebaikan bangsa dan agama sebagaimana yang didakwa mereka.

Patriot dengan ini menyeru semua rakyat Malaysia untuk menghayati dengan lebih mendalam peristiwa hitam 13 Mei ini. Sebagai rakyat Malaysia kita perlu berganding bahu untuk mara kehadapan bagi mencapai kejayaan yang boleh “dikongsi bersama” sebagaimana yang diumumkan oleh perdana menteri.

BG Dato Mohamed Arshad Raji (Rtd)
President, Persatuan Patriot Kebangsaan
(PPM-005-14-22052017)
www.patriotkebangsaan.org.my