MEDIA
Menjadi Patriot, bersama-sama dalam Perpaduan kita akan menjadikan Malaysia yang lebih baik untuk semua.


 

 

< BACK TO MAIN PAGE
17th August 2019
UTUSAN PERLU MEMOHON MAAF KEPADA JEN ARSHAD DAN PATRIOT

Kami ahli-ahli Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) merasa amat marah dan jelek dengan kandungan sebuah artikel yang tersiar di Utusan Online pada 15 Ogos berjudul “Patriot membisu kerana sudah termakan budi?” yang di tulis oleh Sayed Hesham Idris. Penulis telah memetik kenyataan Ketua Penerangan UMNO Perak, Mohd Zolkafly Harun yang telah menuduh Patriot dengan sengaja mendiamkan diri terhadap satu kenyataan berkaitan  Angkatan Tentera Malaysia yang di keluarkan oleh Koon Yew Yin. Melalui kenyataan tersebut Mohd Zolkafly dan Utusan Online telah melemparkan tohmahan yang telah menggambarkan Patriot sebagai sebuah NGO yang tidak jujur, penerima sogokan dan juga korup.
 
Perkara yang perlu di tekankan disini ialah bahawa kedua-dua yang terlibat iaitu Ketua Penerangan UMNO Perak dan penyunting Utusan tidak pernah berhubung untuk mengesahkan dengan Patriot mengenai fakta ini. Sayugia diingatkan bahawa sebaik-baik sahaja kenyataan “anggota tentera tidak berbuat apa-apa kecuali makan dan tidur” timbul di media sosial, Patriot telah dengan segera menghubungi staf Kementerian Pertahanan untuk membuat siasatan. Ekoran tersebut Timbalan Menteri Pertahanan YB Liew Chin Tong pada petang 14 Ogos telah mengesahkan yang Koon Yew Yin sememangnya telah mengeluarkan kenyataan tersebut di blog beliau.
 
Pada jam 9 pagi 15 Ogos Patriot telah mengeluarkan satu kenyataan media mengkritik pandangan Koon Yew Yin dan kejahilan beliau terhadap peranan dan tanggungjawab angkatan tentera. Kenyataan tersebut telah tersebar melalui Free Malaysia Today, The Malaysian Insight, Malaysiakini dan beberapa media yang lain pada pagi atau awal petang di hari yang sama. Kenyataan ini telah muncul lebih awal dari artikel Utusan Online yang hanya muncul pada jam 4.14 petang.
 
Membuat tohmahan yang menggambarkan Patriot sebagai tidak jujur dan korup adalah serius. Oleh yang demikian adalah wajar untuk pihak penyunting dan penulis Utusan Online untuk memohon maaf secara terbuka kepada President dan ahli Patriot. Pihak Patriot tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya satu permohonan maaf tanpa syarat tidak dubuat.
 
Yang lebih memudaratkan lagi adalah implikasi yang timbul akibat tindakan yang tidak bertanggungjawab oleh pihak Utusan tersebut. Artikel yang dinyatakan telah mencetuskan banyak komen-komen bersifat tohmahan dari para pembaca terhadap Brig Jen Dato Mohamad Arshad Raji secara peribadi dan juga kepada Patriot secara amnya. Komen-komen menghina ini bukan sahaja terhad kepada pembaca Utusan tetapi juga telah menular ke sosial media yang lain yang menuduh Patriot sebagai boneka DAP. Ekoran dari tindakan Utusan ini Patriot dengan secara tidak adil telah dihujani dengan komen-komen yang mencaci dan menghina.
 
Kapt Dr Wong Ang Peng (B)
Pengarah Komunikasi Awam
Persatuan Pastriot Kebangsaan
www.patriotkebangsaan.org.my