MEDIA
Menjadi Patriot, bersama-sama dalam Perpaduan kita akan menjadikan Malaysia yang lebih baik untuk semua.


 

 

< BACK TO MAIN PAGE
21st August 2019
PATRIOT MENJAWAB PENGHINAAN OLEH RIDHUAN TEE TERHADAP JEN ARSHAD

Patriot mendapat tahu tentang rancangan buruk pihak tertentu yang menyerang personaliti Presiden kami, Brig Jen Dato Mohamed Arshad Raji secara peribadi dan Persatuan Patriot Kebangsaan secara amnya. Corak tindakan yang diambil biasanya adalah dengan memetik pernyataan beliau yang kemudianya diputarbelitkan dan ditambah dengan kata-kata tohmahan dan fitnah oleh khalayak siber. Kemudiannya disebar dan diulangi di media sosial berbahasa Melayu. Tindakan terbaharu mereka adalah dalam bentuk sebuah artikel oleh Ridhuan Tee Abdullah yang bertajuk ‘Sudahlah Presiden Patriot!”, yang disiarkan di Ismaweb.net pada 7 Julai. Sebelum ini dalam Utusan Online artikel tertajuk “Patriot membisu kerana sudah termakan budi?”.
 
Ridhuan Tee telah mempersoalkan kenyataan Patriot yang mengkritik bekas Presiden UMNO Najib Razak yang mendakwa bahawa ahli-ahli UMNO telah terlibat dalam peperangan menentang pengganas komunis. Dalam mempertahankan kenyataan Najib, Ridhuan telah mempertengahkan dakwaan bahawa pemimpin-pemimpin UMNO merupakan pemerintah dan pembuat keputusan pada masa tersebut yang sekali gus memberikan mereka hak untuk diiktiraf sebagai pejuang peperangan menentang komunis. Patriot mendapati bahawa hujah beliau adalah remeh, tidak berlandaskan fakta dan logik, serta merupakan satu laungan yang tidak relevan. Ridhuan Tee juga dengan cara yang tidak sopan telah menasihati Jen Arshad untuk berdiam diri kerana beliau telah bersara, mendekati masjid, dan berhenti untuk membela kerajaan PH bagi mendapatkan kedudukan dan pangkat yang tinggi. Kenyataan Ridhuan Tee adalah palsu, menghina dan sangat berniat jahat.
 
Ridhuan Tee jua telah menghina Jen Arshad dengan merendahkan status dan sumbangan beliau kepada tentera dan negara. Amatlah janggal untuk membandingkan beliau dengan Pegawai Waran Kanang anak Langkau. Kedua-dua orang pejuang dan anak bangsa ini telah memberikan sumbangan yang amat berharga kepada tanah pertiwi. Siapakah Ridhuan Tee untuk membandingkan dan melagakan mereka? Peliknya fakta pun salah. Dalam rencana tersebut dia telah menyatakan bahawa Kanang adalah ketua kumpulan pengesan khas yang telah berjaya membunuh lima dan menawan seorang musuh. Kanang sendiri menurut Ridhuan, telah ditembak tiga kali dan mendapat kecederaan yang mengakibatkan beliau kehilangan buah pinggang.
 
Tulisan Ridhuan Tee mengelirukan dan mengandungi fakta-fakta yang salah. Sebagai pegawai yang terlibat dalam operasi tersebut, saya ketika itu, Leftenan Muda Wong Ang Peng, telah menerima arahan terus daripada Ketua Polis Negeri pada masa itu, Tan Sri Yuen Yuet Leng untuk mengetuai satu kumpulan khas bagi mencari dan mengesan kedudukan suatu khemah musuh. Bergerak di belakang saya adalah satu kompeni yang diketuai oleh Kapten Othman yang diarahkan untuk bersiap sedia demi menyerang sebaik sahaja khemah tersebut dikesan. Sarjan Kanang semasa operasi tersebut menganggotai salah satu platun dari kompeni yang diketuai oleh Kapt Othman. Tarikh sebenar pertempuran tersebut adalah pada 1 Jun 1979 dan bukannya 19 Februari 1980 sebagaimana yang didakwa oleh Ridhuan. Dalam pertempuran yang diketuai oleh Kapt Othman (saya sendiri bersama mereka ketika itu), kami telah berjaya membunuh lima orang musuh. Kami juga kehilangan dua perajurit akibat tindak balas musuh. Saya sendiri tercedera, terkena serpihan peluru yang tertanam diisi kaki saya sampai ke hari ini. Tiada musuh yang ditawan dan Kanang juga tidak mengalami sebarang kecederaan dalam pertempuran yang berlangsung selama 45 minit tersebut. Sebenarnya, perwira Kanang mendapat kecederaan yang menyebabkan beliau kehilangan buah pinggang berlaku dua bulan kemudian.
 
Fakta-fakta yang diutarakan oleh Ridhuan jelas menunjukkan bahawa dia telah berbohong atau sengaja memutar-belitkan fakta bagi memenuhi suatu agenda kotor. Kejujuran dan integriti beliau dipersoalkan, sebagaimana dalam kes plagiarisme itu, beliau telah dituduh mencedok hasil penulisan orang lain. Dalam dunia akademik plagiarisme adalah satu jenayah yang serius dan tidak boleh dimaafkan. Dalam hal ini adalah diharapkan agar Kemeterian Pendidikan akan dapat menyemak semula isu ini, yang telah ditutup rapat dan dilindungi oleh pentadbiran sebelum ini.
 
Adakah Ridhuan Tee merupakan seorang tukang caci bagi pihak penaung politiknya? Dan hidupnya bergantung pada kebolehan untuk mengeluarkan kata-kata cacian yang bersifat menghasut? Nada, kandungan, bahasa dan ketepatan fakta dalam kenyataannya  mengecam Patriot dan Presiden kami tidak mencerminkan tahap intelektual dan kemampuan Ridhuan Tee untuk berfikir secara logik dan objektif. Ridhuan Tee seorang pensyarah yang berpengalaman, bukan?
 
Sejujurnya, Patriot tidak ingin melayani kenyataan yang dikeluarkan oleh Ridhuan Tee yang jelas tidak berasas, diputarbelitkan, tiada kredibiliti dan hanya mengandungi tuduhan-tuduhan kosong yang palsu dan menghina.
 
Kapt Dr Wong Ang Peng (Rtd)
Pengarah Perhubungan Awam
Persatuan Patriot Kebangsaan
www.patriotkebangsaan.org.my