MEDIA
Menjadi Patriot, bersama-sama dalam Perpaduan kita akan menjadikan Malaysia yang lebih baik untuk semua.


 

 

< BACK TO MAIN PAGE
8th September 2019
HENTIKAN TINDAKAN BOIKOT-MEMBOIKOT YANG KARUT INI

Dalam tempoh setahun kebelakangan ini rentak politik perkauman dan keagamaan telah menjadi semakin rancak menyelubungi negara ini. Ianya dicetuskan oleh ahli-ahli politik serta yang lain yang tidak bertanggungjawab dan kian menjadi-jadi. Kritikan-kritikan yang lantang, tunjuk-tunjuk perasaan dan juga petisyen kepada raja-raja telah dibuat oleh mereka ini. Kini mereka telah mula lantang dengan gesaaan untuk memulau barangan buatan bukan Islam pula.
 
Kempen pemulauan yang dicetuskan oleh mereka ini dijangka akan menemui kegagalan. Seruan yang dibuat adalah satu seruan yang pandir, kurang matang, memecah-belahkan rakyat dan menghindar kemajuan ekonomi negara. Pucuk pimpinan kerajaan PH di dapati telah tidak bertindak dengan cukup tegas untuk menghindarkan perkara ini dari terus berleluasa. Anggota-anggota kabinet didapati teragak-teragak untuk bertindak dan masih menunggu arahan dari Perdana Menteri. Mereka seolah-olah tidak mampu berfikir atau tidak mempunyai sebarang pendirian.
 
Pihak Patriot sebagaimana yang telah berulang kali dinyatakan, ingin mengingatkan semua rakyat bahawa akan pentingnya kita berfikir sebagai rakyat Malaysia. Tidak kiralah sama ada kita Melayu, China, India, Kadazan, Dayak atau pun Orang Asli yang telah menjadi kaya serta diberikan kontrak. Kita perlu menggunakan kekayaan dan kedudukan kita untuk mengembangkan kekayaan tersebut bagi mencipta pekerjaan dan memperkukuhkan lagi ekonomi negara. Yang penting adalah pencapaian agregat pendapatan per kapita negara yang tinggi. Begitu juga dengan pembahagian kekayaan negara berdasarkan taburan ethnik dan wilayah yang dibuat secara adil. Ini adalah tugas bagi mereka yang berwajib untuk memikirkannya dan bukan sebaliknya turut terikut-terikut didalam politik perpecahan yang dipengaruhi oleh sentimen bangsa dan agama.
 
Isu ekonomi sepatutnya menjadi isu utama didalam agenda perbincangan negara. India, sebagai pengimpot terbesar minyak sawit kita telah menaikkan sebanyak 5% lagi cukai dari 45% ke 50% keatas minyak sawit yang telah ditapis dari negara ini. Ini akan menjejaskan nilai ekspot kita. Sekali gus ianya akan juga menjejaskan pendapatan pekebun-pekebun kecil yang kebanyakannya adalah terdiri dari orang-orang Melayu.
 
Menyentuh tentang isu kadar kemiskinan negara, sebagaimana yang diumumkan oleh seorang pakar dari PBB, tahap yang sebenar sepatutnya adalah diantara 16 ke 20% dan bukannya dikadar rasmi sebanyak 0.4%. Sekiranya ini benar, ianya mempunyai implikasi yang serius terhadap kewibaan polisi sosio-ekonomi negara dan cara ianya diimplementasikan.
 
Ada banyak lagi isu ekonomi yang perlu diambil perhatian. Walau pun tahap pengangguran negara berada dikadar 3.3%, kadar pendapatan bulanan individu didapati semakin menurun. Tahap pengangguran dikalangan mereka yang berumur diantara 15 ke 24 tahun masih lagi tinggi dikadar 10.4%. Purata hutang isi rumah masih tinggi ditahap 83% dari KDNK. Kedudukan ringgit yang lemah berbanding dengan dolar Amerika akan menyebabkan kenaikan tahap inflasi. Banyak lagi isu ekonomi negara yang perlu ditangani. Dalam hal ini adalah wajar untuk ahli-ahli politik kita untuk tidak lagi mengigau dan melaung-laungkan isu bangsa dan agama.
 
Patriot menyeru kepada mereka yang bertanggungjawab terhadap kempen boikot- memboikot ini untuk menghentikan tindakan mereka.
 
BG Dato Mohamed Arshad Raji (B)
President, Persatuan Patriot Kebangsaan
www.patriotkebangsaan.org.my