MEDIA
Menjadi Patriot, bersama-sama dalam Perpaduan kita akan menjadikan Malaysia yang lebih baik untuk semua.


 

 

< BACK TO MAIN PAGE
2nd October 2019
JANGAN POLITIKKAN ISU DIVIDEN LEMBAGA TABUNG ANGKATAN TENTERA (LTAT)
Banyak kritikan telah dilemparkan terhadap Kementerian Pertahanan semenjak pengumuman jumlah dividen yang rendah sebanyak 2% yang akan di keluarkan oleh LTAT dari jumlah keuntungan RM221 million yang dicapai pada tahun 2018. Jumlah ini merupakan satu penurunan yang besar sebanyak 51.9 % dari jumlah tahun 2017. Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Nazib Razak dan bekas Menteri Pertahanan Datuk Hishamuddin Hussein dengan lantang telah menyalahkan kerajaan sekarang diatas prestasi yang rendah ini sedangkan punca masalah ini sebenarnya adalah berpunca dari kerajaan sebelum ini.

Najib telah dilaporkan sebagai berkata bahawa “Kerajaan malu untuk mendedahkan sebab sebenar di belakang pemberian dividen 2% tersebut”. Tambahnya, “dibawah pemerintahan kerajaan BN, purata dividen yang dikeluarkan dari tahun 2009 hingga 2017 adalah 14.1%”.

Hishamuddin menyelar kerajaan PH dalam kelewatan membuat pengumuman jumlah pengeluaran dividen tersebut dan seterusnya mendakwa bahawa “Dua asset yang terbesar LTAT ia itu Boustead Holdings dan Affin Bank telah mengalami kejatuhan harga saham yang banyak selepas GE 14”. Beliau juga mendakwa bahawa “Boustead telah terpaksa menjual Hotel Bintang Royale Chulan kepada sebuah syarikat Singapura dibawah harga pasaran”. Dakwaan ini adalah tidak benar kerana lembaga pengurusan LTAT masih belum membuat sebarang keputusan mengenai penjualan ini.

Juruaudit LTAT, Messrs Ernnst & Young dalam laporan audit untuk jangkamasa dari 31 Dis 2017 dan 31 Dis 2018 telah menjumpai “transaksi yang sebelum ini mengandungi beberapa kecurigaan dan kelemahan dari segi akaunting dan perundangan”. Terdapat tujuh perkara utama yang telah dikenal pasti dalam hal ini. Antara yang serius adalah terdapatnya dua unsur kecuaian dan ketidak cekapan yang boleh dikaitkan dengan mereka yang bertanggungjawab sebelum ini termasuk bekas perdana menteri dan menteri pertahanan.

Perkara yang pertama ialah mengenai pembayaran dividen yang berlebihan dari tahun kewangan 2014 hingga 2018. Ini telah mengakibatkan ketidak seimbangan jumlah pulangan tersimpan yang sebenar. Jumlah pulangan aset pada tempoh lima tahun ini adalah lebih rendah dari jumlah dividen yang diistihar, dan LTAT telah mengeluarkan dividen melebihi dari jumlah yang sepatutnya dibayar.

Perkara kedua adalah pengistiharan jumlah yang lebih tinggi dari jumlah sebenar aset yang dipegang oleh LTAT diantara tahun 2015 hingga 2017. Ini adalah disebabkan beberapa pelaburan yang gagal yang tidak dibendung atau diperbetulkan. Akibatnya LTAT telah membuat pernyataan yang menunjukkan asetnya melebihi dari jumlah sebenar yang ada. Dalam hal ini pertimbangan  yang teliti telah tidak diambil oleh LTAT dalam pelaburan yang disertainya.

Patriot menggesa agar segala kepincangan yang telah dikenal pasti oleh juruodit ini dihebahkan kepada seluruh masyarakat supaya keyakinan pihak pencarum dan pelabur terhadap LTAT dapat dikembalikan. Sekiranya terdapat sebarang unsur penyalahgunaan kuasa atau kepentingan peribadi, maka adalah wajar ahli-ahli lembaga pengurusan yang terlibat diambil tindakan menurut peraturan undang-undang.

Sementara menunggu siasatan mengenai kepincangan yang didedahkan selesai dan laporan oleh juru odit diterima, Patriot berharap agar ahli-ahli politik dari kedua-dua belah pihak dan masyarakat amnya untuk tidak mempolitikkan isu ini.

BG Dato Mohamed Arshad Raji (Rtd)
President, Persatuan Patriot Kebangsaan
www.patriotkebangsaan.org.my