MEDIA
Menjadi Patriot, bersama-sama dalam Perpaduan kita akan menjadikan Malaysia yang lebih baik untuk semua.


 

 

< BACK TO MAIN PAGE
10th March 2020
PATRIOT MENUNTUT PERMOHONAN MAAF TERBUKA DARI SINAR HARIAN

 Sinar Harian dalam laporannya bertarikh 7 Mac bertajuk ‘Kenyataan Patriot tidak bertanggungjawab’ telah menuduh pihak Patriot melalui kenyataan Patriot siri 8/2020 bertarikh 6 Mac sebagai menyebut bahawa perlantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri adalah tidak melalui proses demokrasi. Perlu ditegaskan bahawa pernyataan tersebut tidak terdapat dalam teks tersebut  atau secara tersirat, sebagaimana yang telah dituduh oleh pihak Sinar Harian.  
  
Sinar Harian telah berbohong dan telah memutarbelitkan kenyataan tersebut sebagai langkah untuk menimbulkan rasa benci terhadap Patriot dan  sekaligus telah melanggar prinsip etika penulisan kerana gagal untuk mengolah laporannya secara objektif. Dalam hal ini tidak terdapat seorang wartawan atau penyunting pun yang telah menghubungi kami bagi mendapat penjelasan yang sebenar. Oleh hal yang demikian, Patriot menuntut agar pihak penyunting Sinar Harian memohon maaf terhadap tuduhan yang tidak berasas ini. 
 
Menurut laporan Sinar Harian bertarikh 7 Mac tersebut, akhbar itu telah memetik kenyataan Halim Ishak yang dinyatakan sebagai Pengerusi Yayasan Keperihatinan Komuniti Malaysia (MCCF) yang menuduh Presiden Patriot BG Dato Mohamed Arshad Raji (pesara) telah  menghina Yang DiPertuan Agong. Pihak kami tidak mengetahui kenyataan sebenarnya telah dituturkan oleh Halim Ishak, tetapi bertanggapan yang penyunting Sinar Harian adalah bertanggung jawab terhadap laporan salah dan tidak berasas ini. 
 
Perlu ditegaskan di sini bahawa tidak terdapat sebarang konteks pun dalam kenyataan kami ayat yang menghina atau menunjukkan sikap tidak menghormati Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong baik secara langsung atau tidak langsung. Juga tidak terdapat dalam kenyataan tersebut sebarang kata-kata yang menyeru orang ramai untuk mencabar perlantikan perdana menteri kelapan sebagaimana yang dipetik oleh Sinar Harian daripada kenyataan Halim Ishak. Kenyataan kami yang telah disokong oleh 22 NGO utama yang lain, telah meminta untuk satu persidangan parlimen diadakan segera bagi mengukur jumlah sokongan yang telah diterima oleh perdana menteri. Adalah merupakan satu tindakan dan niat jahat bagi sesiapa sahaja yang menterjemahkan ini sebagai satu penghinaan atau perbuatan yang menunjukkan sikap tidak menghormati Yang DiPertuan Agong. 
 
Cogankata Patriot - Kebenaran, Keberanian, Negara, (Truth, Courage, Country) adalah merupakan prinsip dan asas panduan yang sentiasa kami patuhi dalam segala tindakan yang kami lakukan dan kenyataan yang kami keluarkan. Sebagai pesara pegawai-pegawai tentera dan polis serta ahli-ahli awam Patriot, kami tidak berselindung dan berdolak dalih dalam pendirian kami. Kami tidak melibatkan diri dalam politik kotor. Kami juga tidak mengampu atau mengharapkan sesuatu daripada mereka yang berkuasa. Kami tidak menyokong ahli-ahli politik yang mengutamakan kepentingan sendiri. Kami  walaubagaimana pun menyokong ahli-ahli politik yang mempunyai pendirian dan dengan ikhlas berkhidmat untuk rakyat dan negara. 
 
Semasa dalam perkhidmatan kami telah berkhidmat kepada raja dan negara. Ada antara kami yang telah berjuang semasa Darurat Pertama, operasi pengaman di Congo, Konfrantasi Indonesia, Darurat Kedua dan misi-misi pengaman PBB yang amat berbahaya. Ini adalah tugas-tugas operasi yang memerlukan pengorbanan. Ada antara kami telah mendapat kecederaan ekoran daripada pertempuran dengan musuh atau terkena jerangkap samar. Ada juga terdapat antara kami penerima pingat keberanian, diberikan atas keberanian yang telah mereka tunjukkan. Meronda di hutan dan menghadapi bahaya jerangkap samar, membersihkan medan periok api, memati dan membersihkan bom, mengawal pulau-pulau yang terpencil, melakukan rondaan di laut selama berbulan-bulan, mengendalikan misi penerbangan yang berbahaya bagi membantu pasukan yang beroperasi di dalam hutan, dan bagi mereka daripada pasukan polis menjalankan operasi-operasi rahsia dan berbahaya bagi menghapuskan musuh negara. Ini adalah sumbangan kami terhadap negara yang kami tidak pernah mendabit dada berkata-kata. Namun hari ini terpaksa kami sebut  demi maruah semua anak perajurit Malaysia yang berkhidmat dalam diam. 
 
OLEH HAL YANG DEMIKIAN KAMI MEMANDANG SERIUS TERHADAP TUDUHAN YANG DILEMPARKAN KEPADA  KAMI YANG MENGATAKAN KAMI TELAH MENGHINA RAJA DAN NEGARA. Kesetian kami terhadap raja dan negara tidak berbelah bahagi. Walaubagaimana pun kami berhak untuk mempersoalkan tindak tanduk wakil-wakil yang dipilih oleh rakyat. 
 
Pihak kami sentiasa memberikan penghormatan terhadap Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong dan Raja-Raja Melayu tanpa berbelah bahagi. Ini adalah sifat yang tertanam dalam sanubari kami sejak kami mula berkhidmat hinggalah sekarang.  
 
Patriot dalam hal ini berhak untuk mengambil sebarang tindakan yang sesuai bagi membetulkan perkara ini melalui sebarang forum yang membina jati negara. 
  
Kapt Dr Wong Ang Peng (Bersara) 
Pengarah of Komunikasi Awam 
Persatuan Patriot Kebangsaan 
www.patriotkebangsaan.org.my