MEDIA
Menjadi Patriot, bersama-sama dalam Perpaduan kita akan menjadikan Malaysia yang lebih baik untuk semua.


 

 

< BACK TO MAIN PAGE
24th April 2020
SIASAT KEGIATAN MANIPULASI HARGA SAHAM BHIC

Sejujurnya hukum Murphy telah memerangkap imaginasi terburuk dalam pergolakan manipulasi harga saham BHIC. Perkara yang tidak pernah terfikir telah berlaku, dan dalam keadaan masa kini yang amat buruk. 

Daripada pengumuman mengejutkan oleh Bursa Malaysia pada 22 April, Patriot sangat kecewa kerana Urusharta Jamaah Sdn Bhd baru-baru ini telah menjual sekitar 1.2 juta saham Boustead Heavy Industries Corporation (BHIC) Bhd di pasaran terbuka. Hal ini berlaku walaupun kenyataan kami pada 11 April telah mendesak BHIC dilindungi kerana syarikat ini secara intrinsik bernilai bagi pihak tentera dan berpotensi untuk mendapat keuntungan mega pada masa depan. Patriot berpendapat urusan BHIC dapat dikendalikan dengan lebih baik dalam beberapa aspek. Ini termasuklah penjualan saham sekiranya ada keperluan yang besar dan bukan dengan sewenang-wenangnya.
Pada bulan Disember 2018 Urusharta, sebuah syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh kementerian kewangan, mengeluarkan Sukuk Murabahah bernilai RM19.6 bilion untuk aset-aset Tabung Haji, yang merangkumi 18.6 juta saham BHIC yang dibeli pada harga RM2.50 sesaham. Ia mempunyai tempoh 10 tahun pada kadar 4.1% setahun. Kini, hampir satu setengah tahun, kira-kira 1.2 juta saham BHIC dilupuskan minggu lalu pada harga sekitar 70 sen atau kurang. Memandangkan ada baki masa lapan setengah tahun lagi, tindakan menjual saham dengan kerugian RM1.80 sesaham, adalah amat tidak bijak dan tidak masuk akal. 

Sebenarnya, masa lapan tahun adalah masa yang cukup bagi harga saham sesebuah syarikat untuk berpusing dan meningkat naik. Faktor pandemik Covid-19, adalah antara factor-faktor lain, yang menjatuhkan pasaran saham dan tidak mungkin akan berkekalan selamanya. Sebenarnya, untuk menaikkan harga saham BHIC, LTAT (Lembaga Tabung Angkatan Tentera) hanya perlu membuat pengumuman bahawa sebahagian daripada pesanan variasi (Variation Orders) yang dipersetujui Mindef bernilai RM 1.4 bilion akan diambil sebagai keuntungan dan mencerminkannya dalam laporan suku tahunan BHIC. Dividen 20 sen jua dapat diumumkan pada AGM akan datang. Hanya dengan melakukan itu, harga saham BHIC akan naik tinggi dalam beberapa hari, dan dengan ini merosakkan rencana penjahat yang memanipulasikan harga saham.
 
Perbuatan Urusharta menjual saham BHIC dengan kerugian yang besar di pasaran yang tertekan adalah seperti satu entiti GLC yang mensabotaj yang lain. Angkara ini seolah-olah mentampilkan Urusharta membantu manipulator harga saham untuk menekan harga. Kepentingan Mindef dan LTAT adalah untuk kesejahteraan anggota tentera. Jadi sepatutnya mereka berusaha supaya harga saham BHIC naik, bukannya turun.

Pemangsa (predator) telah berusaha memanipulasi saham BHIC selama beberapa bulan, lebih ketara sejak awal Mac, dan serangan habis-habisan sejak pertengahan April.Tidak mungkin lembaga LTAT dan Grup Boustead, dan Bursa Malaysia tidak memperhatikannya dan tidak sedar akannya. Sikap berdiam diri dan tidak melihat harga saham BHIC yang merosot adalah perbuatan pengabaian tugas mereka. Akhirnya menteri pertahanan yang harus menjawab dan bertanggungjawab atas sebarang unsur ketidakcekapan dalam pengurusan dana kebajikan angkatan tentera.

Perkara terakhir, yang tidak kurang pentingnya, mengenai masalah BHIC yang mengalami masalah pengurusan yang buruk, juga melibatkan Citibank. Sebanyak 18,646,300 saham BHIC telah dipindahkan dari Urusharta Jamaah Sdn Bhd kepada Citigroup Nominees Sdn Bhd sebagai penjaga dan pentadbir dana. Sekiranya penjualan saham BHIC oleh Urusharta betul-betul diperlukan, Citigroup seharusnya menjual saham tidak pada harga pasaran, tetapi rundingan langsung untuk tawaran terbaik di luar pasaran. Dengan cara itu harga pasaran saham BHIC tidak akan mendapat impak negatif. Perkara ini merupakan satu asas yang mudah dan mana-mana bank pelaburan patut mengetahuinya. 

Satu contoh tingkah laku tidak profesional dalam penjualan saham BHIC dapat dilihat pada hari Jumaat 17 April. Pada kira-kira jam 11.30 pagi, hampir 420,000 saham dimasukkan ke dalam Sell Q (harga dan kuantiti tawaran) pada harga 70 sen.  Selepas jam 2.30 petang, jumlah Sell Q pada 70 sen meningkat kepada 805,100 saham. Ini secara berkesan menyekat saham daripada bertransaksi lebih tinggi. Jurubank pelaburan yang bertanggungjawab atau pengurus dana tidak harus melakukan perkara seperti itu.  Anggapan yang logik ialah sebahagian besar saham BHIC yang ditawarkan untuk penjualan berasal daripada Urusharta. Sekiranya demikian, maka bank Citigroup tidak bertanggung jawab dalam melaksanakan tugas. 

Patriot ingin tahu mengapa kementerian kewangan dan pertahanan, dan lembaga LTAT serta kumpulan Boustead masih membisu. Patriot mendorong para jeneral dalam tentera dan pelbagai persatuan veteran untuk turut bersuara. Patriot menyeru altruisme veteran, terutama mereka yang mempunyai penjimatan tambahan, untuk membeli dengan harga yang selesa untuk menyokong saham BHIC.

Bagi BHIC, perkara terburuk yang tidak patut berlaku telah berlaku seperti cawan kaca yang pecah bertabur. Kami tidak dapat menerima lagi kemungkinan pengambilalihan yang berniat jahat ini dan melihat setiap hari perbuatan menekan harga saham BHIC ke tahap rendah dan tidak masuk akal ini berterusan. Patriot mendesak menteri pertahanan, lembaga pengurusan LTAT dan Grup Boustead, dan Bursa Malaysia untuk mengambil tindakan sekarang. Ini adalah pernyataan keempat Patriot mengenai perkara BHIC, dan semoga menjadi yang terakhir.

BG Dato Mohamed Arshad Raji (B)
Presiden, Persatuan Patriot Kebangsaan
 www.patriotkebangsaan.org.my