MEDIA
Menjadi Patriot, bersama-sama dalam Perpaduan kita akan menjadikan Malaysia yang lebih baik untuk semua.


 

 

< BACK TO MAIN PAGE
6th November 2017
PENGENALAN - PENUBUHAN PERSATUAN PATRIOT KEBANGSAAN (PPK)

PPK telah tubuh dengan rasminya pada 22 Mei 2017 dan berdaftar di bawah Pendaftar Pertubuhan Malaysia.

Ahli-ahli PPK terdiri daripada rakyat berbilang kaum (lelaki dan perempuan) yang menganggap diri mereka sebagai patriot, iaitu sayang akan perpaduan kaum, keselamatan rakyat dan negara, dan ingin melihat keharmonian di kalangan rakyat berbilang kaum sentiasa terpelihara. Selagi perpaduan, keselamatan dan keharmonian negara dan rakyat tidak terpelihara, mana mungkin rakyat boleh mengecapi kesejahteraan, keamanan dan kebahgiaan dalam kehidupan mereka?

Pada masa ini, banyak ahli PPK terdiri daripada pesara pasukan keselamatan, iaitu, tentera dan polis, kerana golongan inilah pernah memahami apa ertinya patriot. Ini kerana tugas mereka ketika berkhidmat dahulu banyak kepada memastikan terpeliharanya keselamatan, perpaduan dan keharmonian rakyat.

Perlu saya tegaskan di sini bahawa kami bukan satu persatuan veteran pasukan keselamatan. Jauh sekali sebagai satu persatuan veteran Angkatan Tentera, kerana kami bukan berdaftar dibawah Jabatan Hal Ehwal Veteran, sungguhpun di kalangan ahli kami pada masa ini adalah bekas anggota tentera.

Dalam sedikit masa lagi, kami akan perkenalkan persatuan kami kepada rakyat daripada semua lapisan mesyarakat, kaum dan kerjaya untuk bersama kami dalam persatuan ini. Kami ingin membuktikan bahawa ramai rakyat kita yang cinta akan keamanan, perpaduan dan keharmonian negara, yang mahu hidup bahagia sebagai satu bangsa Malaysia, tanpa mengira kaum, keturunan dan anutan agama. Isu-isu perkauman dan keagamaan yang kerap dimainkan oleh orang politik, dan pihak-pihak tertentu untuk kepentingan politik mereka akan kami tentang.

Tujuan/Matlamat Persatuan
Sepertimana yang terkandung di dalam perlembagaan persatuan, terdapat hampir 13 tujuan atau matlamat persatuan.

Ringkasnya, tujuan/matlamat persatuan menjurus kepada memperjuang perpaduan kaum, memelihara keharmonian rakyat, kesaksamaan dan keadilan dasar ekonomi dan pendidikan kepada rakyat. Selain daripada itu, memperjuang sebaik mungkin kebajikan pesara angggota pasukan keselamatan, padaisu-isu keselamatan, sentiasa patuh pada undang-undang Negara, dan taat pada perlembagaan dan Raja-Raja.

Kami adalah persatuan yang bebas daripada pengaruh politik, tekanan mana-mana pihak, dan hanya bersuara memberi pandangan mengenai isu-isu kepentingan rakyat dan negara. Sehubungan dengan ini, kami telah pun mengeluarkan beberapa kenyataan media mengenai isu-isu semasa, dan di sini kami ingin mengucapkan berbanyak terima kasih pada para media yang telah membawa isu-isu kami itu untuk tatapan rakyat.

Kami ingin tegaskan bahawa kami bukan kumpulan pendesak sebagaimana tanggapan pelbagai pihak. Kami hanya ingin memberikan satu pandangan alternatif terhadap sesuatu isu yang kami bangkitkan, dengan harapan bahawa isu tersebut mendapat perhatian pihak-pihak berkenaan.

Isu-isu yang telah kami suarakan dan telah dapat perhatian
Kami mengucap syukur bahawa dalam tempoh 5 bulan sejak dari tarikh penubuhan persatuan, banyak kenyataan media kami telah dibawa oleh pihak media, yang mana sebahgian darinya telah mendapat perhatian oleh pihak-pihak berkepentingan.

Pertama. Isu mengenai rancangan penjualan Kem Batu Kantomen, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur yang telah kami bangkitkan melalui satu surat terbuka kepada Menteri Pertahanan pada 18 Julai 2017. Timbalan Menteri Pertahanan, di dalam satu pertanyaan daripada seorang wartawan telah memberikan jawapan yang samar-samar mengenai kedudukan rancangan penjualan Kem Batu Kantomen itu. Maklumat terkini mengenai rancangan penjualan kem tersebut tidak dapat kami pastikan. Mungkin para media dapat menyoal kembali Timbalan Menteri Pertahanan mengenai status terkini kem tersebut. (Surat terbuka tersebut ada dimuatkan dalam blog persatuan)

Kedua. Isu kedua ialah mengenai rancangan pembinaan empat kem tentera darat yang baru di Perak, Pahang dan Johor. Kenyataan mengenai isu ini telah kami siarkan dalam laman blog kami dan Facebook pada 27/28 Julai 2017. Isu yang kami bangkitkan ialah mengenai kemungkinan berlakunya pemindahan pengundi tentera ke kem-kem baru ini. Baru-baru, ini wakil rakyat DAP dari Keluang Johor telah mendedahkan bahawa terdapat sejumlah pengundi baru terdiri dari warga tentera telah disenaraikan sebagai pengundi baru di Segamat, Johor, walhal kem tersebut masih dalam pembinaan. Kami kurang pasti apa yang berlaku di Bera, Pahang, Paloh, Johor dan Hutan Melintang, Perak; sama ada benar kem-kem baru dibina di kawasan tersebut, dan sama ada pemindahan pengundi tentera ke kawasan tersebut sudah pun dibuat. Isu ini boleh juga ditanya oleh para media kepada Menteri Pertahanan atau Timbalan Menteri Pertahanan.

Ketiga. Pada 12 Oktober 2017, kami telah menulis satu surat terbuka kepada Pengerusi, Persatuan Veteran Komando, Cawangan Wilayah Persekutuan supaya anugerah Ahli Komando Kehormat dilucutkan dari Jamal Yunos atas alasan bahawa tindak-tanduk beliau telah mencemarkan nama baik pasukan elite komando. Saya telah dimaklumkan bahawa Persatuan Veteran Komando, Cawangan Wilayah Persekutuan, telah menarik balik anugerah Ahli Komando Kehormat dari Jamal Yunos pada 28 Oktober 2018 di dalam satu acara rasmi.

Keempat . Pada 20 Okt 2017 lalu, saya telah menulis satu artikel menegur artikel yang terdapat di dalam Malaysia Today kepunyaan Raja Petra Kamaruddin (RPK), yang pada pendapat saya penuh dengan penipuan, hasutan dan kebencian. Artikel saya itu telah dibawa oleh Free Malaysia Today, dan jelas sekarang pihak polis telah dihantar ke London untuk mencatatkan keterangan dari RPK mengenai artikel beliau yang mengatakan bahawa Peguam Negara telah melakukan rasuah dengan menerima sejumlah wang. Apa yang menghairankan saya ialah, bagaimana Malaysia Today yang kerap menulis rencana berunsur fitnah, penipuan, hasutan dan kebencian tidak disekat oleh Kementerian Kommunikasi dan Multimedia? Bilamana Malaysia Chronicle, Syedoutsidethebox, Sarawak Report dan beberapa blog dan media alternative lain disekat, mengapa tidak Malaysia Today? Dan bukankah RPK mempunyai kes tertunggak di negara ini, dan telah lari keluar negara mencari perlindungan di London? Di sini kami mendesak agar blog Malaysia Today disekat oleh Kementerian Kommunikasi dan Multimedia dengan serta merta dan membawa balik RPK untuk dibicarakan.

Kelima. Kami mengambil perhatian serta sokongan terhadap isu yang telah dibangkitkan oleh MP Lumut, YB Tuan Hj Imran di parlimen baru-baru ini mengenai bidang kuasa Majlis Angkatan Tentera, yang selama ini telah tidak dihormati oleh kerajaan. Kuasa yang diperuntukan oleh Perlembagaan Persekutuan kepada Majlis Angkatan Tentera amat jelas. Apa yang telah berlaku selama ini, sedar atau tidak oleh pemimpin tertinggi Angkatan Tentera, adalah kuasa bagi mentadbir Angkatan Tentera telah berpindah ke tangan perkhidmatan awam. Isu ini mengambil masa untuk dijelaskan kerana ianya melibatkan perundangan. Walau bagaimanapun, sekira ada diantara pihak media yang mahukan penerangan lanjut, pakar kami sedia memberikan penerangan.

Apakah aspirasi kami?
Sebagai satu persatuan yang keahliannya ketika ini, terdiri daripada banyak anggota bekas pasukan keselamatan, maka kami percaya kami boleh memberi kepimpinan kepada rakyat jelata berkaitan dengan isu-isu keselamatan, tatatertib dan memupuk kesetiaan kepada Negara. Aspirasi kami, iaitu, 'Untuk menjadikan setiap rakyat berbangga sebagai rakyat Malaysia, walaupun negara ini mempunyai rakyat terdiri daripada berbilang kaum, berlainan agama, dan peradaban yang berbeza'. Rahsia untuk mencapai aspirasi kami ini adalah hanya satu, iaitu dengan adanya sikap 'toleransi' yang harus kita budayakan di dalam mesyarakat kita.

Kami akan sasar pengambilan ahli kepada generasi yang agak muda dan berpotensi untuk dijadikan pemimpin mesyarakat satu hari nanti. Kami namakan golongan ini sebagai 'Rakan Patriot' yang berumur tidak kurang dari 18 tahun. Inilah generasi yang akan mencorakkan masa depan negara, dan apa yang mereka perlu ialah tunjukajar dan didikan yang betul.
 

Rujukan artikel dari:
https://patriotnegara.com/2017/11/06/kenyataan-media-isnin-november-6-2017/



BG Dato Mohd Arshad Raji (Rtd)
President - Persatuan Patriot Kebangsaan

(PPM-005-14-22052017)