MEDIA
Menjadi Patriot, bersama-sama dalam Perpaduan kita akan menjadikan Malaysia yang lebih baik untuk semua.


 

 

< BACK TO MAIN PAGE
28th November 2017
PERLUKAH ANGKATAN TENTERA MALAYSIA BERADA DI ARAB SAUDI BERSAMA ANGKATAN KOALISI YANG DIPIMPIN OLEH ARAB SAUDI?

Berita Al Jazeera melaporkan bahawa Arab Saudi sejak tahun 2015, telah menubuhkan satu angkatan koalisi (coalition forces) terdiri daripada beberapa buah negara Arab untuk membantu negara itu dalam konfliknya dengan Yemen. Malaysia, difahamkan telah menghantar satu pasukan tenteranya untuk menyertai angkatan koalisi ini. Beberapa buah negara barat terdiri daripada United Kingdom, France, Germany dan Amerika Syarikat juga turut membantu angkatan koalisi ini dengan membekalkan peralatan, kelengkapan dan bantuan perisikan. Sekiranya laporan berita Al Jazeera ini benar, Persatuan Patriot Kebangsaan ingin menyuarakan bantahan sekeras-kerasnya terhadap penyertaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam angkatan koalisi yang dipimpin Arab Saudi dan penglibatan anggota tentera kita dalam konflik di Timur Tengah ini.

Disini timbul beberapa soalan yang harus dijawab oleh kepimpinan ATM dan kerajaan sekiranya benar warga ATM terlibat dalam konflik di Timur Tengah ini secara langsung, mahupun tidak langsung. Soalan kami adalah seperti berikut:

  1. Adakah negara mempunyai apa-apa perjanjian ketenteraan dengan Arab Saudi yang membolehkan negara menghantar tenteranya ke Arab Saudi, bilamana bantuan ketenteraan diperlukan? 
  2. Siapa atau kuasa manakah yang berhak membenarkan tentera negara diaturgerak keluar negara bagi membantu Arab Saudi dalam konfliknya dengan Yemen? 
  3. Pernahkah Jawatankuasa Panglima Panglima (JPP) membincang dan meluluskan aturgerak tentera kita ke Arab Saudi? 
  4. Adakah keputusan menghantar tentera negara ke Arab Saudi diputuskan oleh kabinet semata-mata? Jika keputusan ini dibuat oleh kabinet, adakah kabinet mempunyai kuasa mutlak untuk mengaturgerak tentera keluar negara untuk menyertai angkatan koalisi yang di pimpin oleh Arab Saudi? 
  5. Siapakah yang membiayai segala kos pembabitan tentera kita di Arab Saudi selama ini? 
  6. Jika berlaku apa apa jua kecelakaan terhadap anggota tentera kita, siapakah yang harus di pertanggungjawabkan? 
  7. Yang DiPertuan Agung (YDPA), menurut perlembagaan persekutuan adalah Panglima Tertinggi Angkatan Tentera (Supreme Commander of the Armed Forces). Adakah YDPA merestui pembabitan angkatan tentera kita dalam konflik Arab Saudi dengan Yemen? 
  8. Apakah tugas dan peranan ATM dalam angkatan koalisi tersebut? 
  9. Mengapa isu sepenting ini tidak dibahaskan di parlimen? 
  10. Apakah tindakan ketenteraan angkatan koalisi pimpinan Arab Saudi terhadap Yemen ini telah mendapat kelulusan daripada Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu? 

Kami berpendapat penyertaaan ATM di Arab Saudi yang sedang menghadapi konfliknya dengan Yemen adalah kurang bijak dan mengakibatkan anggota ATM terbabit berada dalam keadaan bahaya dan cemas. Tidakkah kerajaan juga sedar bahawa ramai rakyat Malaysia sedang mengikuti pengajian agama di beberapa institusi di Yemen? Sekiranya konflik Arab Saudi dengan Yemen meluas ke lain-lain kawasan, tidakkah ini akan mengancam keselamatan rakyat kita di Yemen?

 

 

BG Dato Mohd Arshad Raji (Rtd)
President - Persatuan Patriot Kebangsaan

(PPM-005-14-22052017)