MEDIA
Menjadi Patriot, bersama-sama dalam Perpaduan kita akan menjadikan Malaysia yang lebih baik untuk semua.


 

 

< BACK TO MAIN PAGE
11th December 2017
PERLUKAH KITA TEMPATKAN ANGGOTA TENTERA KITA DALAM KEADAAN BAHAYA DI BAITULMUQADDIS (JERUSALEM)?

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Hussein dilaporkan (Akhbar Sun Daily bertarikh 9 Disember 2017) mengatakan bahawa Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersedia untuk menghantar pasukan tenteranya ke Baitulmaqdis, dalam misi yang masih bersifat misteri buat masa ini. Beliau seterusnya berkata, "pasukan tentera sedang menunggu arahan (atau perintah), dari pimpinan tertinggi untuk bergerak". Setakat ini, tidak ada satu kenyataan pun yang telah dibuat oleh pimpinan ATM mengenai penghantaran tentera ke Baitumuqaddis, atau sekurang-kurangnya mengesahkan pengumuman yang dibuat oleh Menteri Pertahanan.

Persatuan Patriot Kebangsaan mengambil pandangan yang sangat berhati-hati berhubung penghantaran anggota tentera Malaysia ke luar negara, terutamanya ke Baitulmuqaqdis yang merupakan zon konflik antara Palestin dan Israel. ATM pernah menghantar pasukan tenteranya ke luar negara, tetapi dalam misi yang diluluskan oleh Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC). Berhubung dengan Baitulmuqaddis, keputusan Presiden Amerika Syarikat untuk mengiktiraf, sama ada secara langsung atau tidak langsung, bandar Baitulmuqaddis yang dipertikaikan sebagai ibu negara Israel, adalah satu tindakan bersifat unilateral. Ia tidak diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) dan oleh itu, Baitulmuqaddis kekal sebagai wilayah Palestin secara sah. Hal ini mewujudkan situasi perbalahan yang pasti akan mengakibatkan konfrontasi ketenteraan di antara Palestin dan Israel.

Jika sesungguhnya ATM akan menghantar pasukan tentera ke Baitulmuqaddis pada minggu-minggu atau bulan-bulan akan datang, terdapat beberapa soalan yang perlu dijawab.

  1. Di bawah pemerintahan siapakah pasukan tentera kita akan diletakkan?
  2. Apakah tahap kekuatan yang diperlukan untuk misi seperti ini, dan bagaimanakah pasukan ini akan distrukturkan?
  3. Pihak berkuasa manakah yang akan membuat keputusan muktamad untuk mengerahkan pasukan tentera kita dalam misi yang tidak diiktiraf oleh UNSC ini?
  4. Pihak berkuasa yang meluluskan (approving authority) harus memahami bahawa mengerahkan pasukan tentera ke dalam zon konflik tidak sama seperti mengerahkan pasukan tentera ke operasi pengaman yang diluluskan oleh UNSC . Korban dan kecederaan parah sudah pasti dijangkakan. Adakah pihak berkuasa yang meluluskan sanggup dipertanggungjawabkan sepenuhnya kerana menempatkan anggota tentera kita dalam situasi bahaya?
  5. Adakah kerajaan akan membawa isu ini ke parlimen untuk diperbahaskan?
  6. Adakah pimpinan ATM yakin bahawa pasukan tentera kita adalah kompeten dan terlatih sepenuhnya untuk menghadapi ancaman yang akan berlaku di zon konflik yang asing dan mungkin berubah menjadi medan pertempuran?

     

Rujukan artikel dari:
https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/27050/



BG Dato Mohd Arshad Raji (Rtd)
President - Persatuan Patriot Kebangsaan

(PPM-005-14-22052017)