MEDIA
Menjadi Patriot, bersama-sama dalam Perpaduan kita akan menjadikan Malaysia yang lebih baik untuk semua.


 

 

< BACK TO MAIN PAGE
6th February 2018
MEMBANGUNKAN HOSPITAL VETERAN DI IPOH DENGAN KOS RM500 JUTA MUNGKIN TIDAK SESUAI
Akhbar The New Straits Times bertarikh 3 Februari melaporkan kerajaan akan membina sebuah hospital angkatan tentera yang dianggarkan bernilai RM500 juta di atas  tanah seluas 28,500 meter persegi milik Angkatan Tentera Malaysia di Kem Gua Permai, Tambun, Ipoh, Perak. Jangka waktu siap hospital tidak dilaporkan, dan sekiranya projek ini menjadi kenyataan, ia merupakan hospital veteran pertama yang dibina khusus, Menteri Pertahanan Hishamuddin Hussein menyatakan semasa lawatannya ke tapak cadangan.
 
Walaupun secara amnya veteran mengalu-alukan pembinaan hospital ini, kami di Persatuan Patriot Nasional (Patriot) ingin mempersoalkan kesesuaian cadangan tersebut, dan menawarkan pandangan yang kami fikir dapat memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada veteran; mengurangkan masalah pentadbiran yang tidak perlu kepada mereka. Veteran berada di seluruh negara, dan khususnya bagi mereka yang berpangkat rendah akan menghadapi masalah membuat perjalanan jarak jauh untuk mendapatkan rawatan kerana faktor usia, dan ada sesetengah yang cacat fizikal.
Adalah kurang bijak untuk seorang veteran yang telah menetap di Johor, contohnya, membuat perjalanan ke Ipoh bagi mendapatkan rawatan perubatan. Begitu juga, adalah lebih buruk atau tidak masuk akal untuk veteran dari Sabah dan Sarawak pergi ke Ipoh untuk rawatan perubatan.
 
Daripada membina hospital di Ipoh, para veteran boleh dapat perkhidmatan lebih baik jika Kementerian Pertahanan membina unit perubatan khas veteran di hospital-hospital kerajaan yang terdapat di semua negeri. Terdapat beberapa kelebihan pada cadangan ini. Pertama, veteran tidak perlu melakukan perjalanan jauh untuk pergi ke hospital kerana hospital kerajaan ada di setiap negeri. Kedua, sumber perubatan yang terhad dapat dikongsi antara hospital kerajaan dengan unit perubatan veteran. Ketiga, hospital kerajaan pada umumnya mempunyai kemudahan perubatan yang lebih baik dan staf mereka lebih berpengalaman dalam menangani pesakit.
 
Angkatan Tentera Malaysia mempunyai hospital di Kem Terendak, Melaka, Pangkalan TLDM Lumut, Perak, Kota Kinabalu, Sabah dan Hospital Tuanku Mizan di Kuala Lumpur. Unit perubatan veteran boleh dibina di hospital-hospital ini, memberikan lebih banyak akses kepada veteran untuk pergi ke unit perubatan khas veteran di seluruh negara dan bukan hanya tertumpu ke sebuah hospital veteran di Ipoh, Perak.
 
Patriot amat yakin perkhidmatan perubatan sedemikian harus diperluas kepada pesara polis. Mereka juga berkhidmat bersama Angkatan Tentera Malaysia dalam mempertahankan negara. Mereka layak dilayan dengan baik dan patut diberikan layanan yang sama seperti yang dipanjangkan kepada rakan sperjuangan mereka dari angkatan bersenjata.
 
BG Dato Mohamed Arshad Raji (B)
Presiden, Persatuan Patriot Kebangsaan
(PPM-005-14-22052017)