MEDIA
Menjadi Patriot, bersama-sama dalam Perpaduan kita akan menjadikan Malaysia yang lebih baik untuk semua.


 

 

< BACK TO MAIN PAGE
22nd February 2018
PATRIOT MENYOKONG SERUAN SUPAYA MEMPERBAIKI ATAU MEMANSUHKAN UNDI POS
Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) menyokong seruan Bersih 2.0, dalam kenyataan medianya pada 21 Feb18, supaya sistem pengundian secara pos diperbaiki ataupun dihapuskan sama sekali. Dalam seruannya, Bersih 2.0 mengkritik tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menambah jumlah kategori pengundi pos dari sembilan kepada dua belas, dengan hujah bahawa sistem ini boleh disalahgunakan. Selain itu, tarikh sebenar hari mengundi tidak diketahui sebelumnya dan adalah mustahil untuk mengetahui penjawat awam manakah yang akan bertugas pada mengundi sebenar.
 
Patriot merasakan jumlah kategori penjawat awam yang diberi kebenaran untuk mengundi secara pos harus dikurangkan dan bukan ditambah. Malah untuk anggota polis dan tentera yang membentuk kumpulan terbesar pengundi pos, juga tidak perlu mengundi secara pos. Tidak sama sewaktu kita berjuang menentang musuh-musuh negara, di mana sebahagian besar anggota berada dalam hutan ataupun bersiap sedia untuk diaturgerak menghadapi sebrang kecemasan, kita sekarang berada dalam keadaan aman dan anggota ditempatkan di pangkalan masing-masing. Senarai bertugas yang kemas dengan mudah akan membolehkan semua anggota keluar mengundi pada hari pengundian. Perkara yang sama juga boleh dilakukan untuk semua jabatan awam dan agensi seperti imigresen, kastam, bomba dan penyelamat, penjara, kesihatan, dan termasuk mereka yang bertugas pada hari pengundian. Pengurusan yang betul oleh para pegawai dan mereka yang bertanggungjawab harus membolehkan semua penjawat awam di bawah jagaan mereka menjalankan tugas mereka untuk mengundi pada hari pengundian.
 
Pengundian secara pos harus dihadkan kepada mereka yang menjalankan tugas negara dan tidak mampu kembali ke pangkalan dalam masa sehari, seperti membuat rondaan di laut dan maritim.
 
Jiran selatan kita telah menunjukkan kepada kita bahawa pilihan raya dapat dilaksanakan dengan jayanya tanpa pengundian secara pos. Sudah tentu kita boleh melakukan perkara yang sama, malah dengan lebih baik lagi. 
 
Patriot ingin mengambil kesempatan untuk sekali lagi mendesak rakan-rakan kita dalam angkatan tentera dan polis yang sedang berkhidmat untuk menjalankan tugas demokratik mereka untuk mengundi tanpa rasa takut dan gentar. Mengundi juga merupakan tugas patriotik anda. 
 
Reference article from:
http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/02/22/tentera-tak-perlu-undi-pos-lagi-kata-kumpulan-bekas-tentera/
http://amanahdaily.com/index.php/2018/02/23/tentera-tak-perlu-undi-pos-lagi-kerana-negara-berada-dalam-keadaan-aman-kata-patriot/
https://malaysiadateline.com/patriot-sokong-seruan-bersih-2-0-baiki-mansuhkan-undi-pos/

BG Dato’ Mohamed Arshad Raji (B)
Presiden, Persatuan Patriot Kebangsaan
(PPM-005-14-22052017)