MEDIA
Menjadi Patriot, bersama-sama dalam Perpaduan kita akan menjadikan Malaysia yang lebih baik untuk semua.


 

 

< BACK TO MAIN PAGE
16th September 2017
AKUR DENGAN SERUAN TUANKU MUHRIZ AGAR MENGHORMATI RUKUN NEGARA DAN KEDAULATAN UNDANG-UNDANG
Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) menyokong sepenuhnya titah Yang diPertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, agar mereka yang berkuasa mematuhi Rukun Negara, khususnya prinsip-prinsip keunggulan Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang. Tuanku Muhriz juga menyeru supaya kebebasan institusi di bawah naungan undang-undang, badan kehakiman, agensi-agensi penguatkuasaan, dan suruhanjaya-suruhanjaya dilindungi. Tuanku seterusnya berkata adalah penting bagi institusi-institusi yang diwujudkan di bawah Perlembagaan Persekutuan bebas daripada sebarang campur tangan luar, dan ditadbir urus dengan baik demi memastikan keamanan dan keharmonian. 
 
Titah Tuanku adalah tepat pada masanya memandangkan pilihan raya umum semakin dekat. Rakyat Malaysia mahu melihat pilihan raya yang bebas dan adil. Dalam waktu dan keadaan yang mencabar sekarang, institusi-institusi seperti Suruhan Pilihan Raya, SPRM, Polis Diraja Malaysia termasuk Angkatan Tentera, harus berkhidmat kepada negara dengan penuh kebanggaan dan cara terhormat, mematuhi Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang, bukan sahaja berkecuali tetapi mesti dilihat sebagai berkecuali. Institusi dan agensi dalam kerajaan, dan kerajaan tempatan, harus terus berkhidmat dengan penuh integriti dan tidak dibenarkan dieksploitasi oleh mana-mana parti politik. Sumber kerajaan, seperti tenaga manusia, material, kewangan, dan lain-lain, tidak boleh digunakan untuk kepentingan sesuatu pihak. Patriot menyeru semua penjawat awam, polis dan tentera, supaya memperlihatkan janji setia yang dibuat semasa sumpah jawatan, untuk berkhidmat tanpa takut dan pilih kasih.
 
Patriot juga menyeru semua parti politik agar menjalankan kempen yang bersih, tidak menggunakan bahasa radang yang boleh menimbulkan kebencian di antara kaum, tidak mengkontrakkan ucapan benci-membenci dan hooliganisme kepada kumpulan-kumpulan dan samseng-samseng.
 
Negara kita tidak boleh bertolak ansur dengan sebarang ketaksuban, hooliganisme, ucapan benci-membenci dari mana-mana individu, kumpulan atau parti, yang akan merosakkan keutuhan sosial dan keharmonian negara. Dengan ketidaktentuan kestabilan ekonomi dalam masa terdekat, hiperinflasi global yang akan berlaku akibat perbelanjaan hutang (debt spending) bertahun-tahun di hampir semua negara, pai ekonomi yang mengecil, dan pengangguran yang meningkat dengan ketara; rakyat Malaysia hanya mempunyai satu pilihan, iaitu, untuk kekal bersatu. Kita memerlukan kepimpinan yang kuat dan mampu untuk menggerak dan memotivasi semua rakyat Malaysia untuk terus bekerja keras dan membangunkan semula negara kita yang tercinta. Kita tidak mempunyai pilihan lain. 
 
BG Dato Mohamed Arshad Raji (B)
Presiden, Persatuan Patriot Kebangsaan
(PPM-005-14-22052017)