MEDIA
Menjadi Patriot, bersama-sama dalam Perpaduan kita akan menjadikan Malaysia yang lebih baik untuk semua.


 

 

< BACK TO MAIN PAGE
1st January 2018
BAHASA MENCERMINKAN AKHLAK, PERADABAN, DAN KEPERIBADIAN DIRI
Perdebatan rakyat terhadap ungkapan yang dianggap kurang sopan dan biadap telah banyak dibicarakan di media sosial, Facebook, WhatsApp, Twitter dan pelbagai media sosial. Ungkapan yang dimaksudkan, malangnya telah digunakan oleh segelintir pemimpin politik di negara ini. Sebagai contoh, ungkapan seperti ‘kepala bapak kamu’ telah diungkap oleh seorang pemimpin negara pada satu majlis parti politik, dan disambut dengan sorakan gembira daripada para hadirin, seolah-olah merestui ungkapan yang kurang sopan dan biadap tersebut.
 
Terdahulu daripada itu, pemimpin negara yang sama pernah mengungkap kata-kata yang boleh dianggap kurang sopan dan biadap di hadapan khalayak ramai, seperti perkataan ‘haramjadah’, ‘bangsat’ dan ‘stupid (bodoh)’. Beberapa minggu lalu seorang Ketua Pemuda UMNO telah menggunakan perkataan ‘sial’ kepada pemandu teksi dan ini telah membangkitkan kemarahan oleh Persatuan Pemandu Teksi yang mendesak Ketua Pemuda UMNO berkenaan memohan maaf terhadap kelanjurannya menggunakan ungkapan yang kurang sopan dan biadap itu. 
 
Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) amat kesal dan tidak bersetuju dengan ungkapan bahasa sedemkian, lebih-lebih lagi pabila ungkapan tersebut oleh seorang yang bergelar pemimpin negara yang berbangsa Melayu. Sepanjang hidup saya, belum pernah saya mendengar mana-mana pemimpin negara, iaitu bermula daripada Perdana Menteri pertama hingga Perdana Menteri kelima mengeluarkan kata-kata kesat, kurang sopan dan biadap di hadapan khalayak ramai. Tidakkah pemimpin tersebut mempunyai perasaan segan dan malu mengeluarkan kata-kata sedemikian di khalayak ramai? Bukankah perbuatan itu hanya merendahkan kedudukannya sebagai seorang pemimpin, dan memiliki keperibadian yang rendah nilai dan bahasanya? Ini adalah beberapa soalan yang bermain pada pemikiran rakyat, pabila seseorang yang bergelar pemimpin negara merasakan bahawa kuasa yang ada pada dirinya itu melayakkan dia mengeluarkan apa saja bahasa yang difikirkan sedap pada hati dan mulutnya. 
 
Tidak lama sebelum ini seringkali kita terdengar kata-kata berunsur hasutan yang disebut oleh pemimpin politik dan NGO (pertubuhan bukan kerajaan), seperti ‘mandikan dengan darah Cina’, ‘balik Tongsan dan balik India’, dan‘kaum pendatang’. Sungguhpun kata-kata yang bercorak hasutan ini berlaku lebih dari satu tahun yang lalu dan tidak terdengar baru-baru ini lagi, perbuatan dan kelakuan seperti ini tidak harus terulang untuk selamanya. Walau bagaimana panasnya debat politik terhadap sesuatu isu, yang penting mestilah didebat dengan hujah-hujah yang wajar dan berpendidikan.
 
Selain daripada kelakuan pemimpin politik dan NGO yang tidak menunjukkan teladan yang baik, dewasa ini seringkali terdengar orang biasa menggunakan kata-kata tidak bersopan yang boleh timbulkan kesan negatif antara etnik di negara kita. Contohnya seperti ‘Cina babi’, 'kaki botol' dan ‘keling’. Kelakuan seperti ini menonjolkan masyarakat kita tidak hidup dalam suasana harmoni, bahkan terbenam di minda masing-masing perasan benci dengki.    
 
Patriot ingin menyeru dengan sarat kasih sayang pada pertiwi dan segala anak bangsa, kepada sesiapa saja yang mahu diri mereka  dikenali sebagai pemimpin supaya menghalusi bahasa yang akan diungkapkan, terutama dalam majlis-majlis dan sebagainya. Setinggi mana kuasa yang ada pada seseorang itu, pabila ianya tidak pandai menjaga mulut, maka kuasa yang ada  padanya itu tidak memberikan apa-apa erti. Ingatlah bahawa bahasa yang keluar daripada mulut seseorang itu mencerminkan ketinggian akhlak, peradaban dan keperibadian dirinya. 
 
Marilah kita para pemimpin negara dan pertubuhan, dan rakyat Malaysia, yang berhasrat untuk membina semula negara kita, melangkah dengan revolusi mental ke arah tahun 2018.
 

Reference article from:
https://malaysiadateline.com/bahasa-cerminan-akhlak-peradaban-dan-keperibadian-diri/
https://patriotnegara.com/2017/12/31/bahasa-mencerminkan-akhlak-peradaban-dan-keperibadian-diri/
https://www.malaysiakini.com/news/407171

BG Dato Mohd Arshad Raji (Bersara) 
Presiden 
Persatuan Patriot Kebangsaan 
(PPM-005-14-22052017)