MEDIA
Menjadi Patriot, bersama-sama dalam Perpaduan kita akan menjadikan Malaysia yang lebih baik untuk semua.


 

 

< BACK TO MAIN PAGE
2nd April 2018
PM: JANGAN TIMBULKAN KEBIMBANGAN DAN KERESAHAN YANG TIDAK WAJAR DI KALANGAN ANGGOTA REJIMEN ASKAR MELAYU DIRAJA
Saya terkejut dan tidak percaya apabila membaca sebuah artikel di Malaysiakini bertarikh 30 Mac 2018 yang berjudul, ‘PM: ‘Malaysian Malaysia’ mungkin mengakibatkan pupusnya Rejimen Askar Melayu’. 

Sebagai seorang pegawai Rejimen Askar Melayu DiRaja yang telah bersara, saya dan ramai lagi pegawai dan lain-lain pangkat bersara Rejimen Askar Melayu DiRaja agak bingung, resah dan bimbang berhubung kenyataan yang dibuat oleh PM, iaitu, ‘Malaysian Malaysia mungkin mengakibatkan pupusnya Rejimen Askar Melayu’ sekiranya rakyat memilih pemimpin yang salah dan kerajaan yang bakal dibentuk oleh pemimpin-pemimpin tersebut, dan alasan menyatakan demikian. PM dilaporkan membuat kenyataan itu dalam satu majlis makan malam yang dihoskan oleh pegawai pegawai Angkatan Tentera dan Polis di Mes Pegawai Angkatan Tentera di Kuala Lumpur malam tadi (30 Mac 2018).

Kita harus memahami sejarah penubuhan Rejimen Askar Melayu untuk menyedari bahawa hampir mustahil membuatnya ‘pupus’, membubarkan atau mengisytiharkan Rejimen Askar Melayu Diraja tidak diperlukan lagi. Saya mengatakan ini dengan hati nurani yang sangat jelas bahawa tidak ada kerajaan atau mana-mana kerajaan Malaysia berikutnya ingin membuat perisytiharan sedemikian, bukan sahaja atas sebab-sebab sejarah, tetapi yang lebih penting lagi adalah hubungan istemewa Rejimen Askar Melayu Diraja dengan Raja-Raja Melayu sejak rejimen itu ditubuhkan pada 1933 oleh Pejabat Kolonial British.

Kita juga harus menghayati pelbagai peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang berkaitan dengan Rejimen Askar Melayu Diraja, dan khususnya "Tujuh Wasiat Raja Raja Melayu" yang ditandatangani oleh kesemua sembilan Raja Melayu pada 5 Ogos 1957, salah satu daripada peruntukan tersebut dengan jelas menyatakan penubuhan Rejimen Askar Melayu Diraja sebagai pelindung hak Melayu dan Bumiputra, dan juga untuk melindungi hak kaum-kaum lain di Malaysia. 
Dari perspektif sejarah, Tentera Darat hari ini dilahirkan dari Rejimen Askar Melayu Diraja, dan mengatakan bahawa Rejimen Askar Melayu Diraja akan pupus akibat pertukaran kerajaan, boleh juga diertikan sebagai pupusnya Tentera Darat Malaysia secara keseluruhannya. 

Walaupun PM secara khusus tidak menyebut apa yang dimaksudkannya dengan ‘Malaysian Malaysia’, kita boleh menganggap bahawa beliau merujuk kepada parti-parti pembangkang, khususnya DAP kerana DAPlah yang menjadi penyokong konsep ‘Malaysian Malaysia’ sejak tahun 1970-an. Parti itu telahpun menggugurkan konsep itu sebagai slogannya sejak dua dekad lalu. Adalah jelas bahawa PM menyiratkan DAP akan memimpin kerajaan jika pembangkang menang pada PRU yang akan datang. 
Rakyat Malaysia yang berpendidikan dan berpengetahuan dapat melihat bahawa DAP sering digunakan sebagai momokan untuk menakutkan orang Melayu.  Politik telah terlalu lama didorong ke garis komunal.  Ahli politik yang tidak bertanggungjawab adalah pelaku utama yang sering mengapi-apikan permusuhan kaum. Matlamat utama mereka adalah untuk menjamin sokongan pengundi sesuatu kaum, tanpa menghiraukan hasil negatif yang serius dari masyarakat yang berpecah-belah. 

Bagaimana parti-parti politik yang bersaing bergerak, bagaimana mereka menggunakan taktik untuk mengatasi satu sama lain, tidak menjadi keperihatinan Patriot. Jika apa yang dikatakan dan dilakukan boleh memudaratkan keharmonian masyarakat kita, dan menyebabkan perpecahan, maka Patriot tidak akan teragak-agak untuk bersuara. Kenyataan yang dibuat oleh PM itu tidak memberi kesan baik untuk perpaduan nasional di kalangan masyarakat berbilang kaum. Kami yakin kenyataan beliau juga akan menyinggung Raja-Raja Melayu. 

Juga dilaporkan bahawa selepas ucapan oleh PM, Panglima Angkatan Tentera (PAT) dalam ucapannya menggesa anggota Angkatan Tentera dan Polis DiRaja Malaysia supaya setia kepada kerajaan yang dipimpin oleh PM.

Patriot menganggap pernyataan oleh PAT sebagai kenyataan politik, dengan itu telah menyeret dua perkhidmatan bersenjata ke alam politik, memusnahkan tradisi lama di mana kedua-dua perkhidmatan ini adalah buta politik dan telah berikrar untuk berkhidmat kepada Raja dan Negara. Adalah tidak boleh dimaafkan dan memalukan bagi penulis- penulis ucapan di Kementerian Pertahanan tidak mengetahui protokol berkenaan. 


BG Dato Mohamed Arshad Raji (B)
Presiden, Persatuan Patriot Kebangsaan
(PPM-005-14-22052017)
www.patriotkebangsaan.org.my