MEDIA
Menjadi Patriot, bersama-sama dalam Perpaduan kita akan menjadikan Malaysia yang lebih baik untuk semua.


 

 

< BACK TO MAIN PAGE
8th April 2018
BADUT DAN SARKAS
  Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) tidak ingin menokok tambah lagi rangkaian kritikan berhubung penyusunan semula sempadan pilihan raya baru-baru ini, yang menyaksikan pembahagian yang jelas mengikut kumpulan etnik. Bantahan terhadap ‘gerrymandering’, pelanggaran prinsip-prinsip pembahagian, tidak didengari oleh telinga-telinga yang pekak. Penyusunan semula sempadan yang menjurus kepada politik dan kempen berlandaskan suku kaum untuk lapan tahun akan datang tidak dapat dielakkan. Sekiranya satu lagi komen tambahan dizinkan, kami ingin mengatakan, ia amat bodoh (bloody stupid)! Maaf kerana menggunakan loghat ketenteraan.
 
 Negara kita tidak kekurangan badut yang sudah lali dengan kritikan daripada masyarakat sivil. Para pemain dan pelakon 1MDB, skandal Felda, pembelian hartanah di Australia pada harga yang melambung menggunakan dana MARA, hutang negara yang meningkat mendadak dan defisit fiskal, undang-undang anti-berita palsu; semuanya cukup untuk memenuhi sarkas dengan badut. Tadbir urus yang buruk dan penyalahgunaan kuasa telah menjadi kenyataan.  
 
Tambahan terkini kepada sarkas adalah pembubaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), atas perintah yang dikeluarkan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) sehari sebelum pengumuman pembubaran parlimen. Satu keputusan yang sedemikian penting diperintahkan hanya beberapa jam sebelum kerajaan bakal diketuai oleh pentadbir sementara. Secara terang-terangan telah mengabaikan perasaan sebahagian peratusan besar rakyat. Di manakah prinsip keadilan? Di manakah prinsip kesopanan? Di manakah prinsip berkecuali? Sekiranya penjawat awam kanan yang terdidik dan bertanggungjawab ternyata tidak dapat memperlihatkan prinsip-prinsip tersebut dalam tadbir urus, dalam membuat keputusan dan tata laku mereka, sedih dimaklumkan, ia adalah perarakan yang cepat menuju kehancuran dan kemusnahan bagi  negara kita. Adalah jelas, ROS telah melangkaui garis berkecuali dalam membubarkan PPBM.  
 
Adalah benar untuk mengatakan bahawa penjawat awam, tentera dan polis, menyokong kerajaan yang memerintah. Kesetiaan diikrarkan kepada Raja dan negara. Tidak sekali-kali kepada mana-mana pemimpin politik, sama ada dari pemerintah atau pembangkang.  
 
Patriot ingin mengingatkan ahli politik BN di peringkat persekutuan dan negeri, ahli politik PH di Selangor dan Pulau Pinang, dan ahli politik PAS di Kelantan, semua penjawat awam terutamanya di peringkat tertinggi, pegawai tertinggi tentera dan polis; bahawa negara kita kini ditadbir oleh kerajaan sementara. Dana awam tidak diperuntukkan melainkan jika ia digunakan untuk kegunaan rutin atau kecemasan. Aset-aset kerajaan, hartanah, sumber manusia tidak disalahgunakan untuk tujuan politik. Penggunaan aset ketenteraan, termasuk pesawat, helikopter, kapal tentera laut, oleh mana-mana ahli politik dalam kerajaan sementara, adalah dilarang keras. Mana-mana penyalahgunaannya adalah terang-terangan mengabaikan undang-undang. Ia adalah salah.  
 
Patriot ingin mengulangi rayuan kami yang sering disebutkan. Kepada ahli dan parti politik dari kedua-dua belah pihak, sila perjuangkan isu-isu, sama ada yang mempunyai kepentingan nasional mahupun tempatan. Mohon jangan gunakan politik kebencian; bangsa dan agama, untuk mengganggu-gugat keharmonian kaum yang rapuh. Patriot amat mengambil peduli mengenai isu-isu seperti ini. Kami berusaha untuk merealisasikan Visi kami - Malaysia: negara yang harmoni, makmur dan progresif.  
 
BG Dato Mohamed Arshad Raji (B)
Presiden, Persatuan Patriot Kebangsaan
(PPM-005-14-22052017)