MEDIA
Menjadi Patriot, bersama-sama dalam Perpaduan kita akan menjadikan Malaysia yang lebih baik untuk semua.


 

 

< BACK TO MAIN PAGE
15th April 2018
LEBIH SOALAN DARIPADA JAWAPAN BERHUBUNG CADANGAN PEMBINAAN HOSPITAL VETERAN DI IPOH
Kami ingin merujuk kepada pengumuman yang dibuat oleh Menteri Pertahanan Hishamuddin Hussein berhubung pembinaan Hospital Veteran Tentera bernilai RM500 juta di Kem Gua Permai, Ipoh, Perak. Pengumuman itu dilaporkan oleh New Straits Times bertarikh 3 Februari 2018.
 
Terdapat khabar angin yang mengatakan bahawa Hospital Veteran Tentera ini akan dibangunkan melalui pertukaran tanah (land swap) yang akan berakhir dengan Angkatan Tentera Malaysia kehilangan Kem Gua Permai, dan kesudahannya tidak memiliki hospital tersebut. Patriot mengambil pandangan yang serius terhadap khabar angin yang menyelubungi isu hospital veteran ini, dan menuntut jawapan dari Menteri Pertahanan penjaga (caretaker) dan Kementerian Pertahanan kepada soalan-soalan berikut:
 
1. Adakah benar bahawa Hospital Veteran Tentera yang dirancang di Ipoh akan dibangunkan melalui pertukaran tanah?
2. Jika benar, adakah ini bermakna bahawa 28,500 meter persegi tanah di Kem Gua Permai di mana hospital itu akan dibangunkan, tidak lagi dimiliki oleh Angkatan Tentera?
3. Adakah benar bahawa Kementerian Pertahanan tidak akan menanggung kos pembinaan? Sebaliknya keseluruhan kos pembinaan akan ditanggung oleh syarikat yang akhirnya akan memiliki hospital tersebut apabila ianya siap?
4. Sekiranya benar bahawa hak pemilikan hospital itu bukan milik Angkatan Tentera, tetapi dimiliki oleh syarikat yang membinanya, bagaimanakah hospital itu boleh ditakrifkan sebagai Hospital Veteran Tentera?
5. Adakah benar bahawa hospital itu akan diubah menjadi sebuah hospital milik swasta di mana sebahagian hospital dikhaskan untuk veteran Angkatan Tentera? Sekiranya ini benar, siapakah yang akan mengurus dan mentadbir bahagian yang disediakan untuk veteran Angkatan Tentera?
6. Adakah benar bahawa hospital ini tidak akan menanggung atau memberi subsidi terhadap kos rawatan perubatan untuk veteran?
7. Pada masa ini, Kem Gua Permai adalah tempat penempatan batalion Rejimen Askar Melayu Diraja. Di manakah batalion ini akan dipindahkan? Adakah batalion ini akan dipindahkan ke kem yang baru dibina atau ke kem sementara?
 
Menteri Pertahanan dan Angkatan Tentera seharusnya menyedari bahawa terdapat suara-suara ketidakpuasan yang menyebar di kalangan anggota tentera dan keluarga mereka yang telah ditempatkan di kem-kem baru yang belum siap sepenuhnya untuk diduduki. Langkah sedemikian telah mengganggu kehidupan mereka, terutama bagi keluarga yang mempunyai anak-anak yang bersekolah.
 
Patriot mendesak Menteri Pertahanan penjaga dan Angkatan Tentera untuk menangani isu-isu di atas sebagai perkara penting ekoran khabar angin itu, jika didapati benar, ia adalah tidak baik untuk Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera.
 
Patriot juga ingin mengulangi cadangan kami melalui kenyataan yang dibuat pada 6 Feb18, dengan dana RM500 juta yang ada, adalah lebih baik untuk mempunyai unit perubatan veteran dan pesara polis di setiap hospital awam di negara kita.
 
Memandangkan veteran dan pesara polis tinggal di merata tempat di negara ini, mempunyai unit-unit perubatan yang tidak terpusat,  berbanding yang terpusat di Ipoh, adalah cara terbaik untuk maju ke hadapan.
 
 
BG Dato Mohamed Arshad Raji (B)
Presiden, Persatuan Patriot Kebangsaan
(PPM-005-14-22052017)
www.patriotkebangsaan.org.my